Sabah Lancar SaBAES, SaTKIS, Perkasa Pengurusan Biodiversiti Secara Digital

Sabah Lancar SaBAES, SaTKIS, Perkasa Pengurusan Biodiversiti Secara Digital

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah melancarkan dua sistem digital baharu, Sabah Biodiversity Access and Export Licence Application System (SaBAES) dan Sabah Traditional Knowledge Information System (SaTKIS), sebagai langkah strategik memperkukuh tadbir urus biodiversiti secara digital.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Dr. Ahamed Sade berkata, pembangunan kedua-dua sistem itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam mentransformasikan pengurusan biodiversiti melalui pendigitalan, di samping memastikan perlindungan sumber biologi dan pengetahuan tradisi masyarakat tempatan terus diperkukuh.

“Pembangunan kedua-dua sistem ini bukan sekadar sebuah platform digital, tetapi merupakan satu langkah strategik Kerajaan Negeri Sabah dalam memperkukuhkan tadbir urus biodiversiti yang mudah diakses, moden, telus dan berpandukan data.

“SaBAES dan SaTKIS merupakan satu transformasi penting dalam landskap tadbir urus biodiversiti Sabah,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Biodiversiti Sedunia 2026 Peringkat Negeri Sabah.

Menurut beliau, SaBAES dibangunkan bagi memperkemas proses permohonan, pengurusan dan perkongsian maklumat berkaitan Lesen Akses serta Lesen Eksport sumber biologi Sabah supaya lebih cekap, telus dan mudah diakses.

Sistem ini akan turut memperkukuh pematuhan terhadap perundangan negeri berkaitan akses kepada sumber biologi dan perkongsian faedah.

Katanya, SaTKIS pula diwujudkan bagi melindungi pengetahuan tradisi berkaitan sumber biologi yang dimiliki anak negeri dan komuniti tempatan daripada kehilangan, penyalahgunaan serta eksploitasi.

Serta memastikan manfaat daripada penggunaannya dikongsi secara adil dan saksama selaras dengan prinsip Akses dan Perkongsian Faedah (ABS).

Ahamed berkata, Sabah yang terkenal dengan kekayaan flora, fauna dan ekosistem unik bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat negeri ini, malah merupakan aset strategik yang mempunyai nilai ekonomi, saintifik dan sosial yang tinggi.

Kekayaan ini telah menyumbang kepada status Malaysia sebagai antara 17 negara paling kaya dengan biodiversiti di dunia atau megadiverse country.

Beliau berkata, usaha pemuliharaan biodiversiti Sabah turut mendapat pengiktirafan antarabangsa menerusi pelbagai status berprestij termasuk pengiktirafan Triple Crown UNESCO.

Pengiktirafan itu merangkumi Tapak Warisan Dunia Taman Kinabalu, Rizab Biosfera Banjaran Crocker dan Geopark Global UNESCO Kinabalu, selain Tapak Ramsar Hilir Kinabatangan-Segama, Tapak Ramsar Tanah Lembap Kota Kinabalu, Rizab Biosfera Kinabatangan serta pengiktirafan IUCN Green List bagi Sugud Islands Marine Conservation Area (SIMCA) dan Hutan Simpan Pin Supu.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan Sabah Biodiversity Strategy 2024–2034 sebagai pelan strategik jangka panjang untuk melindungi, memulihara dan memanfaatkan biodiversiti secara lestari melalui pendekatan berasaskan sains, kerjasama pelbagai pihak dan penglibatan seluruh masyarakat.

“Tema sambutan tahun ini, Acting Locally for Global Impact, mengingatkan kita bahawa penyelesaian kepada cabaran biodiversiti global perlu bermula dengan tindakan di peringkat tempatan.

“Apa yang kita pelihara di Sabah hari ini akan memberi kesan kepada keseimbangan ekosistem dunia pada masa kini dan akan datang,” katanya.