KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan sebanyak 30,000 siri Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) dilaksanakan di seluruh negara pada tahun ini sebagai langkah intervensi mendepani kos sara hidup.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sasaran asal sebanyak 23,040 siri itu ditingkatkan susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha mendepani kesan krisis tenaga dan bekalan global.
Menurut beliau, komitmen berterusan Kerajaan MADANI itu turut diperkukuh menerusi pengenalan lima pembaharuan penting bagi memastikan pelaksanaannya memberi impak yang lebih maksimum kepada rakyat.
“Pembaharuan ini merangkumi langkah menginstitusikan PJRM sebagai program tetap kerajaan di bawah Belanjawan Persekutuan serta menetapkan sasaran tahunan mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN) dan zon.
“Selain itu, KPDN turut memperluaskan penglibatan rakan strategik sektor peruncitan, mempelbagaikan kaedah pelaksanaan termasuk PJRM Bergerak dan PJRM Bertema, serta memperkenalkan Takwim PJRM bagi memudahkan rakyat merancang pembelian lebih awal,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan daripada Ahli Parlimen Kuala Kangsar berhubung pelaksanaan PJRM di Dewan Rakyat pada Selasa.
Mengulas mengenai pencapaian semasa, Armizan menjelaskan bahawa setakat 29 Jun lalu, KPDN telah berjaya melaksanakan sebanyak 15,830 siri PJRM di seluruh negara.
Jelas beliau, lonjakan penganjuran yang mencatatkan sebanyak 6,870 siri pada tahun 2023, meningkat kepada 12,419 siri pada 2024 dan 25,708 siri pada tahun lalu membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam membantu rakyat menghadapi cabaran kos sara hidup.
“Peningkatan ini mencerminkan komitmen jitu kerajaan untuk memastikan lebih ramai rakyat mendapat akses kepada barangan keperluan harian pada harga berpatutan. Ia meliputi kesemua 600 kawasan DUN dan 40 Zon Wilayah Persekutuan,” katanya.
Armizan turut memberi jaminan bahawa KPDN akan terus menggembleng usaha memperkukuh program berkenaan agar impaknya dapat dirasai secara menyeluruh oleh seluruh lapisan masyarakat.
“Insya-Allah, KPDN akan terus memperkukuh pelaksanaan PJRM agar manfaatnya dapat dirasai oleh lebih ramai rakyat di seluruh negara melalui pelaksanaan yang lebih menyeluruh, tersusun dan berkesan,” katanya lagi.






