LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak lelaki warga asing yang berusia 12 tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai dibaham seekor buaya ketika berada di Sungai Tagupi Darat di sini, pada pagi Isnin.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, PKPgB Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 12.06 tengah hari.
Susulan itu katanya, sepasukan empat anggota dari BBP Lahad Datu digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 140 kilometer dari balai.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal daripada pemanggil yang juga bapa mangsa, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 11 pagi ketika mangsa berada di kawasan Sungai Tagupi Darat.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 3.44 petang, mangsa telah ditemui lebih awal oleh orang awam kira-kira 300 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.
“Pemeriksaan awal mendapati mangsa, Mohd Nazri Ahidin mengalami kesan kecederaan pada bahagian kaki kiri dan pinggang belakang sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurut Sumsoa, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut.
“Pasukan bomba seterusnya menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi bagi memastikan tiada lagi sebarang ancaman atau bahaya sebelum operasi ditamatkan pada jam 4.26 petang,” katanya.






