Cuaca Buruk Diramalkan Di 12 Negeri Semasa Penamaan Calon PRU15

Cuaca Buruk Diramalkan Di 12 Negeri Semasa Penamaan Calon PRU15

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

SHAH ALAM – Cuaca buruk dijangka akan melanda di semua kawasan Parlimen 12 negeri pada sebelah petang hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu ini.

Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi laman web meramalkan negeri-negeri tersebut ialah Sabah, Sarawak, Pahang, Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Perlis, Pulau Pinang, dan Terengganu.

Bagi kawasan Sabah, hanya lapan Parlimen sahaja yang mengalami ribut petir termasuk Kimanis, Sipitang, Keningau, Silam dan Tawau.

Bagaimanapun pada sebelah pagi di kawasan berkenaan diramalkan cuaca cerah selain di beberapa Parlimen di negeri Pantai Timur, Utara dan Sabah.

Kebanyakan kawasan di sekitar Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sarawak pula diramalkan hujan pada waktu pagi.

Di Selangor, situasi itu melibatkan beberapa kawasan antaranya Sabak Bernam, Hulu Langat, Gombak, Pandan dan Sungai Besar.

Selain itu, cuaca di Parlimen Putrajaya cerah pada waktu petang pada hari sama.