TAWAU, 27 September — Kebersihan bukan sahaja melambangkan imej sesebuah masyarakat, malah menjadi faktor penting dalam menarik lebih ramai pelancong ke Tawau.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.68 Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kebersihan bandar ini perlu diberi perhatian kerana Tawau merupakan bandar ketiga terpenting di Sabah selepas Kota Kinabalu dan Sandakan.
““Apabila bandar ini bersih dan teratur, ia pasti menarik pelancong dari dalam dan luar negara. Lebih-lebih lagi Tawau kini dikenali sebagai pusat pesta kebudayaan antarabangsa yang berpotensi dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Cuci Malaysia 2025 Peringkat Perbandaran Tawau di Dewan Masyarakat Tawau, hari ini.
Nizam berkata, program itu menghimpunkan pelbagai komuniti, peniaga pasar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk perumahan rakyat dalam gotong-royong perdana yang berlangsung serentak di seluruh kawasan perbandaran.
Beliau berkata, kebersihan bukan sahaja mencerminkan imej masyarakat, malah memberi kesan langsung kepada sektor pelancongan yang semakin berkembang di daerah itu.
Beliau berkata, Program Hari Cuci Malaysia 2025 bukan sahaja menzahirkan kesedaran sivik masyarakat Tawau, tetapi juga memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam usaha menjadikan Tawau sebuah bandar bersih, sejahtera dan mesra pelancong.

Dalam pada itu, Nizam berkata kerajaan telah meluluskan peruntukan RM120 juta bagi menaik taraf Lapangan Terbang Tawau yang kini menampung lebih 1.8 juta pengunjung setahun.
“Alhamdulillah, selepas bertahun-tahun menunggu, akhirnya projek pembesaran ini direalisasikan oleh kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri.
“Dengan adanya lapangan terbang baharu, masyarakat Tawau harus bersedia memperbaiki perkhidmatan hotel, pengangkutan dan kebersihan bandar supaya manfaat ekonomi dapat dirasai bersama,” katanya.






