KOTA KINABALU: GiatMara akan segera melaksanakan kerja pendawaian semula untuk 4,000 rumah daif di Sabah melalui Program Senggaraan Elektrik Rumah Impian (SERI), kata Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Bantuan ini mesti sampai kepada yang benar-benar memerlukan, bukan hanya kepada saudara-mara atau kenalan,” katanya sambil menyeru pemimpin masyarakat membantu memastikan agihan telus.
Beliau berkata keputusan meluaskan program daripada 1,000 kepada 4,000 rumah dibuat selepas berbincang dengan Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Zahid turut menegaskan keperluan menutup jurang gender dalam pasaran kerja, dengan penyertaan wanita kini hanya 56.5 peratus berbanding 83.2 peratus lelaki.
“Ini amaran awal yang memerlukan langkah agresif memperkasa wanita, termasuk dalam sektor strategik seperti TVET,” katanya.
Katanya, lebih RM20 juta diperuntukkan untuk menaik taraf pusat TVET di Sabah, manakala hampir RM500,000 disalurkan untuk TVET Tahfiz dan TVET Gig.
Antara langkah lain ialah pemindahan pusat GiatMara Kalabakan dan Sipitang ke premis baharu serta penambahbaikan asrama.
“Sabah yang luas dengan penempatan berselerak memerlukan peruntukan lebih besar berbanding negeri lain. Kita mahu setiap isi rumah dan kampung merasai manfaat pembangunan,” katanya.






