KUALA LUMPUR: Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (RUM) menyatakan bantahan keras terhadap sebarang cadangan atau perancangan untuk menseswastakan landasan rangkaian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Presiden RUM, Muhammad Faizal Shahibul Kiraya berkata, kesatuan itu turut menolak sebarang usaha oleh Perbadanan Aset Keretapi (RAC) yang boleh membawa kepada pelaksanaan semula konsep Perjanjian Akses Rangkaian Keretapi 1 (RNAA 1).
Beliau mendedahkan bahawa pihak kesatuan difahamkan wujud perancangan untuk menyerahkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pengurusan landasan rangkaian KTMB kepada pihak ketiga melalui kaedah penswastaan.
“Perkara ini amat membimbangkan kerana sejak penubuhan perkhidmatan keretapi di negara ini, kerja-kerja penyelenggaraan landasan telah dilaksanakan dengan baik oleh pekerja KTMB yang berpengalaman dan mempunyai kepakaran khusus,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Muhammad Faizal mempersoalkan rasional di sebalik cadangan berkenaan memandangkan KTMB mempunyai tenaga kerja yang mencukupi, kompeten serta berkelayakan untuk melaksanakan tugas tersebut secara berkesan dan selamat.
Jelasnya, landasan keretapi merupakan infrastruktur strategik negara yang berkaitan langsung dengan keselamatan operasi, logistik dan ekonomi.
Katanya, sebarang usaha memindahkan tanggungjawab itu kepada pihak luar berisiko menjejaskan kawalan operasi, penyelarasan teknikal serta menghakis pengetahuan teknikal warga KTMB.
“Pihak kesatuan melihat cadangan ini berpotensi menjadi langkah awal ke arah pelaksanaan semula RNAA 1 yang berisiko mewujudkan pengendali kedua (second operator) dalam rangkaian keretapi negara, sekali gus membuka ruang campur tangan luar,” tambah beliau.
Beliau turut melahirkan kegusaran sekiranya penswastaan landasan diteruskan, ia bakal menjadi permulaan kepada penswastaan jabatan-jabatan lain seperti Kejuruteraan Landasan, Elektrifikasi, Semboyan dan Komunikasi, sekali gus menghakis fungsi teras KTMB sebagai pengendali utama.
Sehubungan itu, RUM telah mengemukakan surat rasmi kepada Perdana Menteri bagi memohon campur tangan Kerajaan Persekutuan untuk menghentikan perancangan tersebut.
Menurut Muhammad Faizal, langkah memperkukuhkan KTMB sepatutnya dilakukan melalui penambahan peruntukan, penggantian peralatan, latihan kemahiran dan pengisian jawatan kosong, bukannya menyerahkan fungsi utama kepada pihak ketiga.
Beliau menegaskan bahawa pihak kesatuan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan wajar dan sah di bawah undang-undang bagi mempertahankan hak pekerja serta masa depan industri perkeretapian negara sekiranya cadangan itu diteruskan.






