Penantian Lebih 400 Penduduk Nikmati Bekalan Elektrik 24 Jam Termakbul

Penantian Lebih 400 Penduduk Nikmati Bekalan Elektrik 24 Jam Termakbul

0
SHARE
Bung (tengah) merakamkan gambar Kenangan bersama kakitangan SESB...

KINABATANGAN, SABAH – Penantian lebih 400 penduduk di Kampung Balat sini untuk menikmati kemudahan bekalan elektrik 24 jam kini termakbul.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Stesen Janakuasa Balat yang mula bertugas pada 1 Ogos lalu telah ‘menghidupkan’ kegembiraan di kalangan penduduk kampung.

“Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) kerajaan Barisan Nasional (BN) itu sekaligus menamatkan penantian penduduk kampung berkenaan yang terpaksa bergantung kepada penggunaan enjin jana kuasa elektrik atau pelita sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Sumbangan Ceria Ke Sekolah dan Program Sekolah Angkat Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sekaligus merasmikan Stesen Janakuasa Balat di Pejabat Pendidikan Daerah Kinabatangan pada Jumaat.

Bung menyampaikan sumbangan peralatan sekolah kepada salah seorang pelajar sempana majlis tersebut…

“Usaha SESB untuk sama-sama membantu dan memberikan bekalan elektrik ke kampung ini menunjukkan keprihatinan mereka terhadap masalah yang dihadapi oleh masyarakat luar bandar,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag berharap lebih banyak perkampungan di luar bandar yang masih belum menikmati bekalan elektrik dapat diberikan bekalan mengikut kepada peraturan-peraturan sedia ada.

“Sementara itu, saya juga berharap agar Kementerian Pembangunan Luar Bandar dapat melaksanakan projek-projek BELB yang telah dirancang…

“Difahamkan sebanyak RM120.5 juta peruntukan telah diberikan bagi melaksanakan projek BELB sambungan talian grid bagi tiga zon di Sabah,” katanya.

Bung merasmikan Stesen Janakuasa Balat di pejabat pendidikan daerah Kinabatangan…

Bung mempercayai bahawa inisiatif ini akan membantu meningkatkan taraf kehidupan rakyat di luar bandar dan memyinari kawasan kampung yang dahulunya gelap tanpa penggunaan enjin jana kuasa.

“Usaha ini juga akan menyaksikan pembangunan sosio-ekonomi di kampung-kampung terlibat untuk terus berkembang,” katanya.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu juga memberitahu bekelan elektrik ini akan disalurkan ke beberapa buah kampung lain berdasarkan kapisiti yang tinggi iaitu 700 megawatt.

Beliau berkata penduduk di Kampung Pinangah juga telah menikmati bekalan elektrik 24 jam bulan lepas dan beberapa buah kampung berhampiran akan dipastikan menikmati kemudahan yang sama dalam sedikit masa lagi.