Usah Bebani Rakyat Dengan Kos Pengeluaran Kerana COVID-19 – Amisah

Usah Bebani Rakyat Dengan Kos Pengeluaran Kerana COVID-19 – Amisah

0
SHARE
Amisah Yassin berbincang dengan Ewon Benedick dan Masidi Manjun sebelum persidangan DUN Sabah hari ini...

KOTA KINABALU, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yassin menyeru semua pembekal, penjual dan peruncit yang menjalankan perniagaan untuk sama-sama memahami beban yang ditanggung dan dihadapi rakyat berikutan daripada kemelut COVID-19 yang masih tidak berkesudahan.

Katanya, rakyat sangat terkesan dengan masalah kehilangan pekerjaan, terpaksa mencari alternatif lain untuk menyara keluarga, melunaskan hutang-hutang tertunggak dan kehidupan norma baharu yang menyekat banyak perkara dari kebiasaan.

“Paling terkesan adalah apabila keperluan asas yang wajib ada, yang mampu dibeli oleh rakyat untuk dijadikan bekalan asas, berkurang di pasaran dan tidak lain tidak bukan pastinya yang saya maksudkan adalah bekalan telur ayam dan juga minyak masak paket.

“Saya akui ada kedai yang mempunyai stok bagi bekalan makanan asas ini namun banyak juga kedai yang kekurangan stok dan menjualnya dengan harga yang agak mahal berbanding kebiasaannya, barangkali kerana kekurangan bekalan dari pihak pembekal atau pengilang.

“Namun pada akhirnya, rakyat yang terkesan dengan masalah ini akan tersepit dan terpaksa berbelanja lebih untuk membeli minyak masak botol yang harganya jauh lebih mahal, yang mana saya sangat yakin, bukan semua dari kita di luar sana mampu untuk berbelanja lebih kerana desakan komitmen hidup mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perbahasan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kali ke-16 di sini hari ini.

Menurut Amisah, masalah itu boleh diteliti dan diperhalusi dengan lebih jauh oleh pihak Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Persekutuan dan Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna untuk mencari jalan penyelesaian yang tuntas.

Selain itu, Amisah turut membangkitkan isu kekurangan bekalan kit ujian pantas (RTK) antigen di pasaran.

“Kit ini sudah menjadi satu kewajipan, satu keperluan bagi kita semua pada masa kini, kebanyakan urusan kita semuanya memerlukan untuk kita memeriksa status kesihatan kita dengan kit ujian tersebut, dan pastinya ini akan terus menerus selagi mana kita masih hidup bersama COVID19.

“Bekalan kit ujian ini yang tidak mencukupi di pasaran hingga memaksa pengguna untuk memasuki banyak kedai, sebelum berjumpa dengan kit ujian, dan lebih menyedihkan, kadangkala kit ujian yang dijual itu diletakkan harga yang agak di luar kemampuan.

“Bayangkan satu keluarga mempunyai ibu ayah, anak-anak dan mungkin juga atuk nenek, bagi mereka pastinya perlu mengeluarkan belanja yang lebih banyak untuk membeli kit ujian ini, hanya untuk sekali guna dan harga yang mahal,” katanya.

Dalam pada itu, Amisah turut menambah bahawa peperangan yang meletus antara Rusia dan Ukraine turut menjadi punca dan faktor kepada masalah kemerosotan ekonomi rakyat dunia, secara keseluruhannya.

“Peperangan di sana memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan dan lain-lain bekalan barang keperluan bagi kita di sini, dan tentu saja turut menyumbang kepada masalah ekonomi yang meruncing.

“Saya ingin menyeru pihak berkaitan yang mengendalikan bekalan khasnya seperti bekalan baja agro pertanian, produk makanan dari negara tersebut, dan bijirin, untuk bertindak segera bagi meneliti penyelesaian paling terbaik, atau setidak-tidaknya alternatif lain yang boleh dilakukan, agar kita tidak terputus bekalan atau keadaan menjadi lebih tenat,” ujar beliau lagi.