KOTA KINABALU: Mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Aksyah Haji Nasrah menyifatkan pengiktirafan IBR ASEAN Award 2024 kepada Kerajaan Sabah sebagai pencapaian besar dan bukti kejayaan sebenar pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau berkata, pengiktirafan Sabah sebagai “Kerajaan Negeri Paling Cemerlang 2024” membuktikan dakwaan pembangkang bahawa GRS-PH Plus adalah “kerajaan gagal” adalah tidak berasas.
“Sebaliknya, pasukan profesional dari luar telah mengiktiraf pencapaian kerajaan Sabah hari ini sebagai cemerlang dan teratur,” katanya.
Menurut Aksyah, di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, GRS berjaya melaksanakan pelbagai projek pembangunan menyeluruh yang kini mula dinikmati rakyat.
“Kejayaan ini dicapai hasil daripada mekanisme pelaksanaan yang bersistem dan terancang.
“Projek-projek yang diwarisi dalam keadaan bermasalah turut berjaya diselesaikan, walaupun secara perlahan, tetapi tetap berjaya,” ujarnya.
Tambahnya lagi, GRS bukan sahaja melaksanakan pembangunan, tetapi turut mencatat peningkatan hasil negeri saban tahun melalui dasar ekonomi dan kewangan yang mampan.
“Saya percaya, pencapaian Sabah Maju Jaya (SMJ) ini tidak berlaku secara kebetulan.
“Ia hasil kepimpinan yang stabil, dasar yang konsisten dan pasukan pentadbiran yang berfokus,” katanya.
Mengulas reaksi pembangkang, Aksyah menjangka mereka akan terus mencipta persepsi negatif kerana tidak mampu menerima kenyataan bahawa GRS berjaya.
“Namun rakyat harus bijak menilai kestabilan dan kesinambungan dasar yang baik adalah kunci kepada masa depan Sabah yang lebih sejahtera,” katanya lagi.
Beliau mengucapkan tahniah kepada Hajiji dan seluruh pasukan kerajaan negeri atas pengiktirafan tersebut dan menyeru rakyat terus menyokong kepimpinan sedia ada.






