TAWAU, SABAH – The Spirit of 1985 (semangat perjuangan 1985) menjadi tunjang pemangkin Jelajah Konvoi Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) yang dilancarkan Ahad lalu.
Pemangku Presiden, Datuk Dr Joachim Gunsalam menyeru kepada Pergerakan Pemuda PBS untuk menghayati semangat perjuangan 1985 yang telah diperjuangkan oleh pemimpin PBS terdahulu dan menerangkan perjuangan parti kepada semua belia.
Katanya, perjuangan PBS ialah semata-mata untuk mempertahankan dan menuntut hak-hak rakyat Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1965 (MA65).
“Justeru, banyak tuntutan yang telah dituntut bagi kepentingan rakyat Sabah. PBS akan kekal menuntut semua yang sepatutnya kita tuntut,” kata Timbalan Ketua Menteri II itu ketika merasmikan penutupan Jelajah Konvoi itu di Kubota Square, di sini malam tadi.
“PBS sebagai parti lokal tertua di Sabah merupakan sebuah parti yang multiracial, multi-religion akan terus menuntut apa yang sepatutnya dituntut bagi kepentingan rakyat Sabah umpamanya dalam sektor pendidikan, kesihatan, pembangunan dan lain-lain,” katanya.
Joachim turut menyeru kepada Pergerakan Pemuda untuk memperkasakan PBS dan memperbanyakkan lagi program seperti Jelajah Konvoi ini ke seluruh Sabah.
“Kita mahu semua menerangkan lebih banyak mengenai semangat perjuangan PBS.
“Dengan mengadakan jelajah ini ia juga akan dapat mengeratkan persahabatan dan lebih memperkukuhkan lagi perhubungan silaturrahim sesama pemuda PBS.
“Ini (jelajah konvoi) adalah satu titik permulaan untuk berkongsi dan bersatu meningkatkan kualiti penglibatan dalam PBS khususnya kepada belia -beliawanis di seluruh Sabah.” katanya.
Beliau turut mengulangi bahawa PBS akan tetap bersama dengan GRS.
“Kita akan bekerja keras dengan rakan-rakan dalam GRS bagi memenangi Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) yang akan datang.
“Sehubungan itu, kita juga turut mengekalkan kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PBS mengucapkan terima kasih kepada Dr. Joachim atas kehadirannya dan menyeru semua Pemuda PBS Tawau yang hadir untuk terus berjuang bersama dalam parti.
Beliau mengakui bahawa hubungan yang baik antara PBS dengan rakan-rakan dalam GRS menjadi faktor kemenangan PBS di Parlimen ini.
Katanya, di peringkat Parlimen, pembangunan di Tawau adalah sama rata dan tidak melihat latar belakang politik dalam satu-satu kawasan.
Turut hadir Ketua Pegerakan Pemuda PBS, Dr Christoper Mandut; Ahli Majlis Tertinggi PBS, Goon Thien Shang dan Ketua PBS Bahagian Sebatik, Sahrol Mahoolop.