KOTA KINABALU, SABAH – Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional Universiti Malaysia Sabah (PPUMS) menyambut baik kenyataan Ketua Setiausaha Negara sebagai manifestasi solidariti penjawat awam dengan menyumbang sebahagian Imbuhan Tetap Keraian (ITK) dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam mengikut gred jawatan yang disandang.
Presidentnya, No’man Ahmad, menganggap sumbangan kakitangan awam ini tidak membebankan, berpatutan dan selari dengan keprihatinan kakitangan awam terhadap cabaran menghadapi Pandemik ini.
“PPUMS ingin mengajak seluruh syarikat milik kerajaan (GLC) dan pihak swasta untuk turut sama bersolidariti dengan melakukan sumbangan melalui pemotongan Elaun Lembaga Pengarah dan kakitangan syarikat masing-masing,” katanya dalam kenyataan medianya hari ini.
Sehubungan dengan itu, PPUMS menggesa mana-mana pihak supaya berhenti mempolemikkan isu sumbangan kakitangan awam ini.
“Tujahan sebenar haruslah ditumpukan untuk menangani pandemik ini secara bersepadu, cekap dan berkesan,” katanya.