Kluster Sawit Segama Berpunca Daripada Tempat Kerja, Disyaki Dibawa Masuk Dari Indonesia

Kluster Sawit Segama Berpunca Daripada Tempat Kerja, Disyaki Dibawa Masuk Dari Indonesia

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – SATU (1) kluster baharu dikesan di negeri ini kelmarin (Jumaat), demikian menurut Jurucakap COVID-19 negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun malam tadi.

‘Kluster Sawit Segama’ di Lahad Datu merupakan kluster yang berpunca daripada tempat kerja yang mana jangkitan disyaki dibawa masuk dari Indonesia.

“Kluster ini melibatkan kes indeks seorang wanita, 48, warganegara Indonesia yang dikesan positif pada 6 Julai hasil saringan masuk kerja di sebuah klinik swasta…

“Kes indeks yang masuk ke Sabah pada 25 Jun bersama dua orang cucu telah diarahkan menjalani kuarantin di Ladang Sabah Mas (Division Segama) sebelum dibenarkan bekerja.

“Dia mula bergejala batuk dan sakit tekak sejak 3 Julai 2021, kemudian mengambil swab PCR bersama beberapa ahli keluarga lain yang juga sedang dikuarantin di ladang yang sama.

“Saringan yang dijalankan terhadap 64 kontak mendapati 14 lagi individu disahkan positif termasuk satu (1) kes baharu menjadikan jumlah kumulatif kes positif kluster ini sebanyak 15 kes,” kata beliau.

Dalam pada itu, Sabah mencatatkan peningkatan jumlah kes di dari sebelum ini yang mana sebanyak 323 KES telah direkodkan kelmarin (Jumaat).

Infografik perkembangan terkini COVID-19 di Sabah setakat 09 Julai 2021…(Sumber Foto: Command Centre Sabah)

Masidi turut berkata bahawa angka kes positif dalam negeri ini akan terus meningkat dalam tempoh beberapa hari lagi disebabkan oleh saringan bersasar yang akan dilaksanakan di semua kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Strategi ini membolehkan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengenal pasti dan mengurus punca jangkitan dengan lebih efektif…

“Ia juga merupakan sebahagian daripada langkah strategik untuk mengoptimumkan program vaksinasi secara besar-besaran kepada masyarakat khususnya dalam bulan Julai dan Ogos ini,” tambah beliau.