Kilang Pembungkusan Kayu Terbakar di Sepanggar

Kilang Pembungkusan Kayu Terbakar di Sepanggar

0
SHARE

SEPANGGAR: Sebuah kilang pembungkusan kayu di kawasan perindustrian KKIP Selatan di sini mengalami kebakaran serius petang kelmarin Dan mengakibatkan 50 peratus daripada struktur bangunan terbakar.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam insiden tersebut.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah dalam kenyataannya memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.39 petang melalui talian MERS999.

Tiga jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan Lintas bersama 30 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 23 kilometer dari balai, dan tiba pada jam 2.09 petang.

Komander operasi, Judy Trisna berkata, operasi pemadaman melibatkan dua aliran 200 kaki dengan empat pancutan air, menggunakan bantuan jentera Water Tanker sebagai sumber air utama.

“Kebakaran melibatkan struktur kekal bersaiz 120×50 kaki persegi dan berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3.20 petang, sebelum operasi ditamatkan sembilan minit kemudian,” katanya.

Pemeriksaan rapi dilakukan di seluruh kawasan kilang bagi memastikan tiada bahaya susulan sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya.

Turut membantu dalam operasi ialah lima anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berada di lokasi bagi kawalan keselamatan.