KOTA KINABALU, SABAH – Tular satu video petang ini yang menunjukkan kenderaan jenis Perodua Myvi berwarna putih di bawa air deras anak sungai Jalan Kionsom Lama, Inanam, petang tadi.
Dalam rakaman video yang berdurasi 16 saat itu, pemandu kenderaan Myvi mengambil keputusan untuk melintasi jalan yang mana pada ketika itu air deras mengalir daripada anak sungai di tempat tersebut.
Malangnya, ketika pemandu itu cuba untuk memandu melintasi jalan tersebut, air deras yang mengalir daripada anak sungai telah menolak dan membawa kenderaan itu jatuh ke dalam sungai.
VIDEO tular yang menunjukkan kenderaan jenis Myvi berwarna putih dipandu mereda jalan yang dinaiki air sungai telah ditolak dan di bawa arus deras anak sungai…
Kejadian yang dilaporkan berlaku lebih kurang jam 6 petang tadi dirakam oleh pemandu yang berada di belakang kereta berkenaan.
Setakat ini, belum diketahui lagi nasib pemandu dan penumpang (jika ada) di dalam kenderaan Myvi tersebut.
Wartawan Sabahnews juga pada ketika ini masih lagi sedang cuba untuk menghubungi pihak berkuasa bagi mengetahui status terkini pemandu terbabit.
Terdahulu, daerah Kota Kinabalu sejak petang tadi mulai hujan lebat yang membuatkan beberapa kawasan di daerah ini mula dinaiki banjir.
Orang ramai di sekitar Kota Kinabalu turut dinasihati agar sentiasa berhati-hati ketika banjir yang berlaku kini dan bersiap sedia menyelamatkan segala dokumen penting.