Wanita Cedera, Isuzu Dipandu Terbabas Sendiri dan Terbalik Sejauh 50 Meter di...

Wanita Cedera, Isuzu Dipandu Terbabas Sendiri dan Terbalik Sejauh 50 Meter di Semporna

0
SHARE

SEMPORNA: Seorang wanita mengalami kecederaan selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas sendiri dalam kejadian kemalangan di Jalan Semporna Pegagau awal pagi tadi.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, PBK I Norhaini Jumdani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 6.11 pagi. 

Susulan itu, seramai tujuh anggota bomba dari BBP Semporna bersama anggota kesihatan telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 23 kilometer dan tiba pada jam 6.43 pagi.

“Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Isuzu D-Max terbabas sendiri lalu terbalik sejauh 50 meter dari jalan raya.

“Terdapat seorang mangsa wanita berusia 30-an dilaporkan terlibat dan pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa dari dalam kenderaan sebelum dihantar ke hospital oleh pasukan kesihatan menggunakan ambulan untuk rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pasukan Bomba seterusnya menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi mangsa yang terlibat sebelum menamatkan operasi sepenuhnya pada jam 7.40 pagi.