Penjawat Awam Harus Pertahankan Kerajaan Daripada Dakwaan, Fintah – PM

Penjawat Awam Harus Pertahankan Kerajaan Daripada Dakwaan, Fintah – PM

0
SHARE

PUTRAJAYA – Kerajaan pada hari ini adalah kerajaan bersama dan para penjawat awam wajar harus mempertahankan kerajaan daripada pelbagai dakwaan dan fitnah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata, penjawat awam wajar mempertahankan kerajaan dengan melihat beliau sebagai ketua kerajaan dan mereka bukannya mempertahankan parti politik.

“Apabila tuan puan mempertahankan, tuan puan tidak berpolitik…

“Jangan lihat saya sebagai pemimpin politik tetapi sebagai ketua kerajaan dan tuan puanlah anggota kerajaan.

“Kerajaan ini adalah kerajaan bersama. Sebab itu saya perkenalkan konsep Keluarga Malaysian sebab saya nak kita bersama anggap kerajaan ini sebagai satu keluarga,” beliau berkata demikian pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Pada pertemuan itu, Ismail Sabri berkongsi kejayaan dikecapi kerajaan antaranya pencapaian cemerlang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang merekodkan pertumbuhan 8.9 peratus pada suku kedua tahun ini, selain mewujudkan pekerjaan mencecah 400,000 serta prestasi nilai dagangan melepasi RM2 trilion.

Perjumpaan itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.