DBKK Arahan Henti Kerja Cerucuk Berhampiran Taman Austral

DBKK Arahan Henti Kerja Cerucuk Berhampiran Taman Austral

0
SHARE

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengeluarkan arahan henti kerja sementara terhadap aktiviti cerucuk di tapak pembinaan berhampiran Taman Austral, Kepayan Ridge, susulan aduan penduduk mengenai gegaran yang dirasai semasa kerja dijalankan.

Menurut DBKK, kerja cerucuk di tapak berkenaan diluluskan menggunakan kaedah ‘bore pile’ yang kebiasaannya menghasilkan gegaran lebih rendah berbanding ‘displacement pile’.

Bagaimanapun, siasatan awal mendapati gegaran berpunca daripada kerja membuka acuan cerucuk yang sedang dijalankan ketika itu.

“Bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman penduduk, DBKK telah mengarahkan pemaju menghentikan sementara kerja cerucuk sehingga langkah mitigasi lengkap dikaji dan dilaksanakan oleh perunding struktur yang dilantik,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Perunding struktur pemaju turut diarahkan menyediakan laporan kajian serta cadangan langkah mitigasi bagi mengurangkan impak gegaran, di samping memantau keadaan struktur bangunan sedia ada sekiranya berlaku kerosakan.

DBKK turut menegaskan laporan dilapidasi terhadap bangunan berhampiran perlu disiapkan sebelum kerja pembinaan disambung semula bagi merekodkan keadaan asal struktur, dan sebarang kerosakan akibat kerja pembinaan akan menjadi tanggungjawab penuh pemaju.

Sementara itu, mesyuarat Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) yang dipengerusikan oleh Pengurus Besarnya, Datuk Rosemary Ahping, turut membincangkan keperluan pelan mitigasi bunyi yang mematuhi tahap ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta pelaksanaan konsultasi dengan penduduk terjejas termasuk pemasangan sistem pemantauan bunyi masa nyata.

DBKK menegaskan pemaju perlu mematuhi masa kerja yang diluluskan dan sebarang pelanggaran boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan mengikut undang-undang.

DBKK akan terus bekerjasama dengan LPPB bagi memantau kerja-kerja di tapak bagi memastikan pembinaan dijalankan secara selamat, terkawal dan mematuhi keperluan teknikal serta undang-undang demi kesejahteraan penduduk sekitar.