KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta membuka lebih banyak program latihan semula dan peningkatan kemahiran kepada pekerja yang diberhentikan ketika pandemik COVID-19, sebagai usaha menyerap kembali kumpulan itu dalam pasaran kerja.
Perkara itu dicadangkan wakil pembangkang yang bimbang dengan nasib hampir satu juta pekerja yang diberhentikan dalam tempoh dua tahun akibat pandemik COVID-19.
Memetik laporan BH Online, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) berkata, kerajaan perlu perjelaskan usaha bagaimana boleh dilaksanakan untuk membantu mereka yang dibuang kerja.
Beliau berkata, ada diumumkan mengenai tawaran 600,000 peluang kerja dalam pembentangan Belanjawan 2022, namun tiada perincian mengenainya.
“Justeru, ini perlu diperjelaskan ke arah mana kerajaan boleh membantu kumpulan yang hilang kerja ini dan bagaimana 600,000 peluang pekerjaan ini dapat diisi,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat, semalam.
Abdullah Sani juga membangkitkan mengenai purata pendapatan isi rumah sekitar RM10,000 sebulan pada 2025 seperti diumumkan kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
Beliau berkata, sasaran yang ditetapkan itu diangggap tidak munasabah untuk dicapai dengan prestasi pasaran kerja dan pendapatan pekerja di negara ini.
Malah, katanya, ketika ini gaji minimum juga tidak dapat diselesaikan yang mana hingga kini ditetapkan RM1,200 sebulan seperti ditetapkan mengikut Perintah Gaji Minimum 2012.
Beliau berkata, unjuran yang dibuat kerajaan itu juga nampak sukar dicapai jika dilihat kepada garis kemiskinan dalam kalangan penjawat awam.
Ketika ini, katanya, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) keseluruhan nasional adalah sebanyak RM2,208 sebulan bagi satu isi rumah pada 2019.
“Jadi saya berpandangan PGK ini menyukarkan kita mencapai pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan menjelang 2025…
“Malah daripada segi penetapan gaji mengikut tahap pendidikan juga masih rendah sama ada di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), diploma, ijazah muda, sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD), jadi saya tidak yakin sasaran RM10,000 sebulan ini dapat dicapai,” katanya.
Beliau turut mencadangkan penubuhan Mahkamah Tinggi Perusahaan yang mana kebanyakan kes membabitkan pekerja dan majikan yang di bawa ke mahkamah tinggi dan rayuan tidak berpihak kepada pekerja.
“Apabila kes di mahkamah tinggi, kosnya yang tinggi tidak ada masalah kepada majikan, tetapi pekerja tiada duit dan akhirnya buang kes dan pertikaian kes buruh ini tidak diselesaikan dengan baik dan menafikan hak pekerja mendapatkan keadilan.
“Jadinya, perlu ada Mahkamah Tinggi Perusahaan ini supaya pertikaian kes buruh ini diselesaikan dengan lebih adil kepada kedua-dua pihak,” katanya.





