YouTube Bakal Sembunyikan Jumlah ‘Dislike’ Pada Video Yang Dimuat Naik

YouTube Bakal Sembunyikan Jumlah ‘Dislike’ Pada Video Yang Dimuat Naik

0
SHARE

NEW YORK – YouTube bakal sembunyikan jumlah sebenar ‘dislike’ orang ramai pada sesebuah video yang dimuat naik di platformnya bagi memastikan pencipta kandungan tidak menjadi sasaran serangan berbaur kebencian atau gangguan.

Menurut Syarikat YouTube dalam satu kenyataan baru-baru ini, jumlah ‘like’ atau ‘dislike’ yang dipaparkan pada catatan di media sosial sering disebut oleh pengkritik sebagai menjejas kesejahteraan pengguna dengan Facebook serta Instagram sudah membenarkan pengguna mereka menyembunyikan kiraan tanda suka atau ‘like’ pada catatan mereka.

Walau bagaimanapun, YouTube yang dipetik AFP memaklumkan butang ‘dislike’ tidak dihapuskan, tetapi jumlahnya hanya untuk maklum balas peribadi dan tidak dipertontonkan kepada khalayak.

“Bagi memastikan YouTube mempromosikan interaksi yang bersifat menghormati antara penonton dan pencipta kandungan… kami cuba uji dengan butang ‘dislike’ sama ada perubahan itu akan dapat melindungi dengan lebih baik pencipta kandungan daripada gangguan dan mengurangkan serangan kebencian,” kata YouTube dalam satu kenyataan.

Menurut wadah video itu, pencipta baru kandungan melaporkan menjadi mangsa serangan di mana penonton sengaja berusaha menambah jumlah ‘dislike’ yang tinggi.

Ada pencipta kandungan memaklumkan, jumlah ‘dislike’ yang tinggi menjejaskan kesihatan mental mereka.

Perubahan di YouTube itu dibuat tatkala rangkaian sosial dan video utama dunia sering dituduh oleh penggubal dasar, penguasa kawal selia dan kumpulan pemantau sebagai tidak melakukan secukupnya untuk melindungi pencipta kandungan dan memerangi gangguan dalam talian.