KENINGAU: Barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Liawan mengumumkan keputusan untuk keluar parti dan kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sebagai tanda sokongan berterusan terhadap kepimpinan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman.
Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Datuk Annuar Ayub Aman hari ini, langkah tersebut bukan keputusan kecil, sebaliknya dibuat atas dasar kesedaran bahawa perjuangan politik sebenar bukan sekadar berpaksikan parti, tetapi kepada kepimpinan yang diyakini dan perjuangan demi rakyat.
“Parti hanyalah landasan, tetapi perjuangan sebenar adalah kepada rakyat dan kepimpinan yang kita percaya.
“Semua AJK ini memilih untuk kekal teguh bersama Datuk Annuar Ayub Aman, seorang pemimpin yang telah membuktikan keikhlasan, kerja nyata dan hala tuju yang jelas untuk masa depan Liawan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa pendirian AJK berkenaan tidak mudah digoyahkan atau dipengaruhi oleh mana-mana pihak kerana mereka yakin terhadap kepimpinan Datuk Annuar yang sentiasa memperjuangkan kepentingan rakyat di kawasan Liawan.
“Kita tidak menoleh ke belakang, tidak terikat pada simbol atau warna kerana perjuangan ini berakar pada kepercayaan dan kejujuran,” ujar kenyataan itu lagi.
Mereka turut menzahirkan komitmen untuk terus menyokong GRS sebagai wadah politik yang stabil dan berpaksikan pembangunan rakyat.
“Bersama GRS, kita terus membina Liawan yang maju, stabil dan berdaya saing. Inilah perjuangan kita, bukan kerana parti, tetapi kerana prinsip dan keikhlasan,” tambah kenyataan tersebut.






