KOTA KINABALU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan rampasan besar melibatkan 48 kilogram syabu dan ganja bernilai lebih RM1.5 juta dalam siri operasi di Semporna dan Kota Kinabalu baru-baru ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata kejayaan itu hasil risikan berterusan, tindakan pantas anggota di lapangan serta kerjasama rapat pelbagai agensi keselamatan dan orang awam.
Menurutnya, dalam operasi pada 19 Oktober di Semporna, sepasukan anggota MPV menahan seorang lelaki warga Filipina berusia 29 tahun membawa empat kotak besar berisi 45 bungkusan syabu seberat 46.4 kilogram bernilai RM1.48 juta.
“Rampasan ini mampu menampung hampir 350,000 penagihan sekali guna,” katanya.
Susulan tangkapan itu, dua lagi lelaki warga Filipina ditahan di Pulau Denawan keesokan harinya, namun tiada barang salah ditemui.
“Dalam operasi berasingan pada 16 hingga 17 Oktober, JSJN turut menahan tiga lelaki di sekitar Kota Kinabalu dan merampas lebih 1.2 kilogram ganja,” tambahnya.
Antara yang ditahan ialah seorang tukang masak dan seorang penyelam skuba yang didapati memesan ganja dari Kuala Lumpur.
Pada 20 Oktober, polis turut menahan seorang lagi warga Filipina di hadapan Hotel Promenade bersama 1.01 kilogram syabu bernilai kira-kira RM32,000.
“Dalam kejayaan lain, hasil kerjasama JSJN Sabah dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), kami menerima satu rampasan ganja seberat 591 gram yang ditemui di Gudang Pos Aviation, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu,” katanya.
Siasatan mendapati bungkusan tersebut dihantar dari Kelantan melalui kargo udara.
Jauteh menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau sindiket yang terlibat dalam aktiviti pengedaran, pemilikan, atau penyalahgunaan dadah.
“Kejayaan demi kejayaan ini membuktikan kecekapan risikan serta kesungguhan JSJN dalam memastikan Sabah bebas daripada ancaman dadah.
“Kami menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat melalui Hotline JSJN di 012-208 7222,” katanya.






