TAWAU: Seorang lelaki berusia 24 tahun maut dalam kemalangan melibatkan sebuah lori tangki membawa muatan minyak sawit dan sebuah kereta Perodua Bezza di Jalan selepas Bandar Balung, Tawau, pada pagi kelmarin.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 11.44 pagi.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau melibatkan 11 anggota bergegas ke lokasi kejadian sejauh 40 kilometer.
Komander Operasi, PBK I Suheizan Sahak berkata, setibanya di tempat kejadian, pihaknya mendapati pemandu Perodua Bezza telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Pemandu lori tangki tidak mengalami sebarang kecederaan. Kenderaan lori tangki yang membawa muatan minyak sawit dialihkan menggunakan kren oleh syarikat bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambah beliau, pasukan bomba kemudiannya menjalankan pemeriksaan keselamatan bagi memastikan tiada risiko kebakaran atau bahaya lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.10 petang.
Operasi turut disertai pegawai dari KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).






