Semua Daerah Di Sabah Catat Kes Baharu Positif COVID-19 – Masidi

Semua Daerah Di Sabah Catat Kes Baharu Positif COVID-19 – Masidi

0
SHARE
Infografik perkembangan terkini COVID-19 di Sabah setakat 04 Ogos 2021...(Sumber Foto: Command Centre Sabah)

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah mencatat 949 kes baharu positif COVID-19 kelmarin Rabu iaitu penurunan sebanyak 61 kes dari jumlah hari yang sebelumnya.

Sebanyak enam (6) kes kematian juga dilaporkan pada hari tersebut yang mana direkodkan masing-masing dua (2) kes di Kota Kinabalu dan Tawau, manakala satu (1) kes masing-masing di Papar dan Sipitang.

Daerah Kota Kinabalu mencatatkan penambahan kes yang tinggi, daripada 183 kes sebelum ini kepada 260 kes kelmarin (Rabu).

Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata semua daerah di Sabah mencatatkan kes baharu.

“Kontak rapat terus menjadi penyumbang utama iaitu sebanyak 570 kes atau 60.06 peratus daripada jumlah kes keseluruhan dan 201 kes atau 21.18 peratus datang daripada kategori Saringan Bergejala…

“Memandangkan kes baharu kategori Saringan Bergejala adalah tinggi, adalah amat disarankan agar mereka yang mengalami selesema dan batuk segera membuat ujian calitan bagi menentukan status kesihatan masing-masing.

“Tindakan ini dapat mengelak daripada menjangkiti orang lain sekiranya didapati positif,” tegas beliau.

Dalam pada itu, satu kluster baharu turut dikesan iaitu ‘Kluster Tampasuk’ di Kota Belud.

Kluster terbabit merupakan penularan dalam komuniti yang dipercayai berpunca daripada majlis pengebumian.

“Kes indeks merupakan juruwang wanita, 32, di sebuah bank disahkan positif pada 26 Julai setelah bergejala demam, sakit badan, sakit tekak, selsema dan batuk…

“Saringan terhadap 159 kontak mendapati 29 kes positif COVID-19 termasuk sembilan (9) kes baharu hari ini,” jelasnya.

Beliau mengaskan kepada para pemimpin masyarakat, ketua kampung dan ketua mukim agar terus mengingatkan penduduk di kawasan masing-masing sama ada muslim atau bukan muslim supaya tidak mengadakan sebarang majlis selepas pengebumian seperti kenduri, tahlil dan sebagainya.

“Hal ini mustahak bagi mengelakkan penularan jangkitan yang berpotensi mencetuskan kluster baharu yang semakin meningkat ketika ini khususnya berkaitan penganjuran majlis sosial…

“Orang ramai yang ingkar dan melanggar SOP dengan mengadakan majlis sosial ini, akan dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Lima lokaliti dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 6 sehingga 19 Ogos.

Kawasan ini membabitkan dua (2) Lokaliti di Daerah Kunak iaitu Perumahan Ladang Mostyn dan Kampung Kasnuri, Kampung Kuala Mengalong di Sipitang, dan dua (2) lagi Lokaliti di Kota Kinabalu iaitu Kampung Tanjung Aru Lama dan Universiti Apartment 1 (UA1).