KOTA KINABALU, SABAH – Mentaliti masyarakat perlu beradaptasi dengan masa agar ekonomi Sabah dapat dilonjak ke peringkat global.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan dalam perutusan tahun baru 2022 berkata, kadar kemiskinan dan korupsi harus dihapuskan dengan digitalisasi, blok rantai dan mengaktifkan “aset-aset malas”.
Katanya sejak Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil pucuk pimpinan pada mula pandemik dua tahun yang lalu, ia juga berhadapan dengan kesan kadar pengganguran dan kemiskinan yang tinggi serta penyusutan dalam KDNK.
“Orang ramai pada ketika itu sudah mula bosan dengan kerajaan yang tidak mempunyai hala tuju dan visi bagi Sabah…
“Mengikut perancangan yang sedia ada sekarang, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah boleh diggandakan daripada USD 6,000 kepada USD 12,000 dalam tempoh dua tahun ini,” katanya.
Meskipun lapan daripada sepuluh negeri termiskin berada di Sabah, Jeffrey berkata negeri ini tetap kaya dengan keindahan alam semula jadi.
Beliau turut menekankan kepentingan pemuliharaan alam semula jadi agar dapat berganding bahu bersama negara-negara maju dalam mengurangkan kesan perubahan iklim demi kelangsungan kehidupan manusia di muka bumi.
“Sabah mesti beralih daripada ekonomi konvensional kepada ekonomi pekeliling digital dan memandangkan hutan dan peluang pertanian Sabah yang luas serta kelebihan dan potensi geografi yang strategik kita bersedia untuk melakukan perkara itu,” katanya.





