SHAH ALAM: Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada terhadap penipuan pakej umrah yang semakin berleluasa, khususnya tawaran pada harga terlalu murah yang boleh mengundang risiko jemaah terkandas dan terabai di Tanah Suci.
Pengarah Urusan Mubasyyir Travel & Tours Sdn Bhd, Datin Seri Hajah Intan Abdul Hamid berkata, isu penipuan pakej umrah kini menjadi antara cabaran terbesar industri dan memberi kesan besar kepada keyakinan masyarakat terhadap pengendali yang sah dan berlesen.
“Isu penipuan pakej umrah semakin membimbangkan. Ia bukan sahaja merugikan jemaah, malah mencemarkan reputasi industri secara keseluruhan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran harga yang terlalu murah dan sentiasa menyemak kesahihan agensi sebelum membuat sebarang tempahan.
“Pastikan agensi memiliki lesen sah daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), semak jadual penerbangan yang jelas serta elakkan bayaran dibuat ke akaun peribadi,” katanya.
Dalam pada itu, Datin Seri Hajah Intan berkata pemilihan pengendali yang mengamalkan ketepatan jadual penerbangan dan pengurusan yang telus penting bagi menjamin kelancaran ibadah jemaah.
Mengulas perkembangan syarikat, beliau berkata Mubasyyir Travel & Tours kini memperkukuh operasinya sebagai pengendali umrah tempatan berskala nasional dengan sasaran membawa seramai 5,000 jemaah menjelang awal 2026, khususnya dalam kalangan golongan B40 dan M40.
“Mubasyyir ditubuhkan pada 2023 sebagai syarikat bumiputera 100 peratus dan berlesen penuh di bawah MOTAC. Dalam tempoh singkat, kami berkembang secara konsisten hasil kepercayaan orang ramai terhadap disiplin operasi yang kami amalkan,” katanya.
Hadir sama pada sidang media tersebut ialah Pengurus Besar Mubasyyir Travel & Tours, Ustaz Haji Muhammad Salleh.
Menurut Datin Seri Hajah Intan, setakat ini Mubasyyir mengendalikan sehingga 28 penerbangan semusim, bersamaan purata tiga penerbangan sebulan, sekali gus meletakkan syarikat itu antara pengendali umrah tempatan yang mencatat pertumbuhan pesat.
Beliau berkata pengukuhan operasi itu turut menjadi asas kepada perancangan jangka panjang syarikat untuk terlibat secara rasmi dalam pengurusan ibadah haji bersama Lembaga Tabung Haji menjelang 2027.
“Kami melihat penglibatan dalam pengurusan haji sebagai kesinambungan tanggungjawab dalam industri ibadah. Justeru, penekanan kini diberikan kepada pengukuhan tadbir urus, pematuhan peraturan dan kestabilan operasi,” katanya.
Dalam masa terdekat, beliau berkata kira-kira 30 jemaah dijadualkan berlepas ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah umrah Syawal sebagai sebahagian daripada jadual penerbangan berkala syarikat.
Maklumat lanjut mengenai Mubasyyir Travel & Tours boleh diperoleh melalui laman sesawang www.mubasyyirtravel.com.my.






