KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menzahirkan rasa kecewa terhadap gejala buli yang semakin membimbangkan di pusat pengajian dan sekolah di Sabah serta negara ini.
Menurutnya, lebih menyedihkan apabila budaya buli turut berlaku di sekolah agama yang sepatutnya menjadi lambang kesucian Islam.
“Ini keadaan yang sangat tidak wajar. Masyarakat pun tertanya-tanya, bagaimana budaya buli boleh berlaku dalam institusi agama? Di mana silapnya?” katanya ketika merasmikan Konvensyen Du’at di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.
Hajiji menegaskan, konvensyen agama Islam seperti ini perlu dijadikan medan muhasabah untuk memperbaiki kelemahan, bukan sahaja di sekolah tetapi juga dalam organisasi kerajaan dan swasta.
Ketua Menteri turut memberi amaran mengenai penularan propaganda palsu dan fitnah di media sosial yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab, khususnya menjelang pilihan raya negeri.
Katanya, isu politik, ekonomi, keselamatan, kesihatan, alam sekitar serta isu 3R sering disensasikan oleh pihak tertentu hingga mencalar imej pemimpin dan institusi negeri.
“Lebih malang, tragedi melibatkan pelajar dan budaya buli juga dijadikan bahan fitnah oleh netizen tidak bertanggungjawab,” ujarnya.
Hajiji turut menyentuh cabaran teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI) yang boleh disalahguna menghasilkan kandungan palsu berbentuk infografik, audio dan video.
“Penyalahgunaan teknologi ini satu ancaman serius. Kebimbangan utama ialah kesannya terhadap generasi muda yang bakal mewarisi masa depan negeri dan negara,” katanya.
Beliau menyeru ibu bapa, pendidik, pendakwah, dan pemimpin masyarakat untuk menjadi benteng dan pembimbing generasi muda dengan penuh tanggungjawab dan kasih sayang.






