KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah menerusi Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) mengumumkan kelulusan penanggunggan sewaan premis sementara bagi Hospis Kanak-Kanak pertama Sabah, sebagai sebahagian usaha menyokong inisiatif Malaysian Association of Paediatric Palliative Care (MAPPAC).
Perkara itu diumumkan oleh Menteri KPMKR merangkap Exco Kesihatan Negeri Sabah, Datuk James Ratib dalam ucapan perasmiannya sempena Majlis Penutup SEPEDA Amal Borneo 2025 anjuran Malaysia Medical Association (MMA), di sini, hari ini.
Menurut James, kementeriannya melalui Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) bersetuju menanggung kos sewaan premis sementara untuk tempoh satu tahun dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM27,600 (RM2,300 sebulan).
“Saya menyokong penuh usaha ini dan kita telah bersetuju membantu MAPPAC menubuhkan Pusat Khidmat dan Pentadbiran mereka menerusi pembiayaan sewaan penuh selama 12 bulan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa cadangan akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet Negeri untuk meluluskan sebidang tanah di sekitar Kota Kinabalu sebagai tapak pembangunan bangunan kekal bagi hospis tersebut.
“Saya akan membawa perkara ini ke Kabinet supaya kerajaan negeri menyediakan tapak yang bersesuaian untuk pembinaan hospis kanak-kanak pertama Sabah ini,” jelasnya.
Dalam masa sama, James juga berikrar untuk memohon kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar menyediakan fasiliti dan kepakaran perubatan yang diperlukan bagi menyokong operasi hospis tersebut kelak.
Terdahulu, beliau turut menekankan keperluan segera memperkasa perkhidmatan paliatif kanak-kanak di Sabah, memandangkan jumlah pesakit semakin meningkat, namun kepakaran dalam bidang ini masih sangat terhad.
“Pada tahun lepas sahaja, lebih 100 kanak-kanak baharu dirujuk ke Unit Paliatif di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas, dan perkhidmatan ini masih belum dapat dinikmati oleh kanak-kanak di luar bandar,” ujarnya.
Beliau turut memuji usaha semua pihak yang terlibat dalam SEPEDA Amal Borneo, termasuk 17 peserta yang menamatkan kayuhan sejauh 600 kilometer dari Sandakan ke Kota Kinabalu, dalam misi mengumpul dana dan meningkatkan kesedaran tentang penjagaan paliatif kanak-kanak.
Dengan pengumuman tersebut, Sabah selangkah lebih dekat ke arah memiliki fasiliti hospis khas kanak-kanak yang pertama di negeri ini, sejajar dengan komitmen kerajaan negeri memperkukuh sistem kesihatan yang inklusif dan menyeluruh.






