KOTA BELUD: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang dipercayai mengalami gangguan emosi selepas ditemukan berada di tingkat dua sebuah menara telekomunikasi di Taman Nikmat, Kota Belud, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.37 pagi itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud dikejarkan ke lokasi sejauh empat kilometer sebaik menerima panggilan kecemasan melalui talian balai.
Ketua Balai BBP Kota Belud, Elge Bakuk berkata, operasi menyelamat melibatkan 12 anggota bomba bersama bantuan Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati mangsa berada di tingkat dua menara telekomunikasi dan dipercayai mengalami gangguan emosi serta kurang siuman. Pasukan bomba bersama polis segera menjalankan usaha memujuk mangsa bagi memastikan keadaan kekal terkawal,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, sebagai langkah keselamatan menghadapi sebarang kemungkinan, pasukan bomba turut memasang jaring keselamatan di kawasan operasi.
“Mangsa akhirnya berjaya dipujuk dan dibawa turun dengan selamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi yang diketuai PBK I Mohd Farhad Abdullah itu dikawal pada jam 12.50 tengah hari selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.






