KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, mengingatkan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) supaya melaksanakan tugas dengan penuh integriti kerana mereka merupakan wakil Kerajaan Negeri di kawasan masing-masing.
Beliau berkata, PPM yang ditempatkan di kawasan pembangkang khususnya memikul tanggungjawab besar untuk meraih kepercayaan rakyat terhadap kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Selain mematuhi arahan kerajaan, peranan PPM di kawasan pembangkang adalah mencabar. Kamu adalah mata dan telinga kerajaan, maka laksanakanlah tugas dengan sebaik mungkin,” katanya ketika merasmikan Majlis Angkat Sumpah fasa kedua bagi 35 PPM di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Hajiji menegaskan, PPM perlu menjaga imej kerajaan dan tidak menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi. Katanya, tindakan tegas termasuk pemecatan akan diambil sekiranya terdapat PPM yang mengabaikan kepentingan rakyat atau menyalahgunakan kedudukan.
“Jangan kejar kepentingan sendiri. Berikan keutamaan kepada mereka yang benar-benar memerlukan bantuan dan laksanakan amanah ini dengan penuh tanggungjawab,” katanya.
Beliau turut mengingatkan PPM supaya berperanan aktif menjelaskan dasar, inisiatif serta pencapaian Kerajaan Negeri kepada rakyat di peringkat akar umbi, selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Seramai 45 PPM telah mengangkat sumpah jawatan pada majlis angkat sumpah pertama pada 13 Januari lalu, manakala fasa kedua hari ini melibatkan 35 PPM, kebanyakannya ditempatkan di kawasan pembangkang. Turut hadir ialah menteri-menteri Kabinet Negeri serta Pengarah Unit PPM, Datuk Awang Kadin Tang.






