Kerajaan Persekutuan Dan Negeri Dicadang Sepakat Perkenal Inisiatif ‘Tiket Rahmah’ Bagi Penerbangan...

Kerajaan Persekutuan Dan Negeri Dicadang Sepakat Perkenal Inisiatif ‘Tiket Rahmah’ Bagi Penerbangan Domestik

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dicadang untuk sepakat memperkenalkan inisiatif ‘Tiket Rahmah’ bagi penerbangan domestik antara Semenanjung Malaysia – Sabah – Sarawak dan Labuan.

Perkara itu dicadangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah dalam sidang DUN Sabah hari ini.

“Jika sebelum ini kerajaan menawarkan ‘Harga Rahmah’ untuk produk bahan makanan kepada pengguna, maka kali ini kita syorkan supaya kerajaan mewujudkan harga ‘Tiket Penerbangan Rahmah’ bagi laluan domestik serendah yang mungkin mengikut kemampuan rakyar marhaen.

“Saya juga ingin menegaskan supaya kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) wajar menguatkuasakan Akta Kawaln Harga Antipencatutan (AKHAP) 2011 untuk mengambil tindakan tegas kepada syarikat-syarikat penerbangan tempatan yang sesuka hati menaikkan harga tiket penerbangan domestik,” katanya.

Tambah Masiung, beliau turut mencadangkan kepada KPDN dan Kementerian Pengangkutan Malaysia supaya sepakat menetapkan harga lantai tiket penerbangan domestik.

“Terutama pada waktu puncak melibatkan musim cuti persekolahan, hari perayaan seperti Hari Raya, Krismas, Tahun Baru Cina dan Deepavali. Demikian juga kepada perayaan Pesta Kaamatan di Sabah dan Hari Gawai di Sarawak.

“Jika kerajaan hanya mengambil sikap tengok dan lihat sahaja terhadap isu kenaikan mendadak harga tiket penerbangan ini tanpa mengambil langkah agresif, ia bukan sahaja menjejaskan Integrasi Nasional tetapi juga turut memberi kesan terhadap industri pelancongan domestik,” tegasnya.

Tegas Masiung lagi, kenaikan harga tiket penerbangan ini juga boleh membuatkan warga tempatan akan kehilangan minat melancong di dalam negara sendiri.

“Ramai akan beralih untuk bercuti ke negara jiran dengan tambang lebih murah dan ini sudah tentu wang kita lebih banyak mengalir ke luar negara,” tegasnya.