KUALA LUMPUR: Kumpulan new wave rock tempatan, Plong!, kembali merancakkan landskap muzik alternatif Malaysia dengan pelancaran single terbaharu berjudul Gadis Shampoo. Lagu yang ringan dan bertenaga ini menampilkan ritma rancak serta bassline yang melekat, sekali gus memperkukuh identiti muzik unik kumpulan tersebut.
Sebagai single kedua mereka di bawah naungan Luncai Emas, Gadis Shampoo menandakan kesinambungan perjalanan seni Plong! dalam meneroka bunyi baharu yang segar dan berani. Lagu ini mencerminkan pendekatan spontan, jujur dan penuh karakter yang menjadi teras perjuangan muzik mereka.
Plong! diasaskan oleh Yayat Nasir (gitar) dan Akmal Borhan (bass) yang bertemu ketika menuntut di Malaysian Institute of Art. Kini, kumpulan itu turut dianggotai Fahmi Samsudin (vokal) dan Yasin Nasir (keyboard), melengkapkan barisan yang membawa gabungan art rock eksperimental, disco dinamik, tenaga punk ringkas serta ritma reggae yang tersendiri.
Nama Plong! tercetus secara santai, diinspirasikan daripada bunyi logam berlaga. Ia kemudian diperkaya dengan rujukan kepada lagu “Plong!” oleh Didi Kempot yang membawa maksud tenang atau damai — mencerminkan dualiti muzik mereka yang kedengaran ganjil namun tetap mengasyikkan.
Menurut kumpulan itu, Gadis Shampoo tercipta secara organik ketika sesi latihan bermula dengan idea ringkas daripada papan kekunci. Lagu tersebut berkembang melalui proses jamming santai sehingga membentuk identitinya sendiri dengan gitar rangup dan groove yang mudah dihayati.
Dari sudut lirik, lagu ini mengangkat tema tarikan halus terhadap seseorang yang sederhana namun meninggalkan kesan mendalam. Tajuknya menjadi metafora kepada pesona ringkas yang sukar dilupakan — tentang memori, bau dan detik kecil yang kekal dalam ingatan.
Plong! mengakui tidak mengejar kesempurnaan bunyi, sebaliknya mahu setiap karya dan persembahan mereka terasa hidup serta bertenaga. Dengan pengaruh daripada kumpulan antarabangsa dan tempatan era terdahulu, mereka terus bereksperimen tanpa mengorbankan kejujuran estetika mentah yang menjadi identiti.
Selain boleh didapati di semua platform penstriman digital, video muzik Gadis Shampoo turut dilancarkan di YouTube. Diterbitkan oleh kolektif videografi tempatan Krew Filem Sek Kito, video tersebut menjanjikan sentuhan visual D-I-Y yang nostalgik, eksentrik dan menghiburkan.






