TANJUNG MALIM, PERAK: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor meminta pelajar Sabah yang menuntut di luar negeri supaya mengambil tahu secara langsung segala usaha dan inisiatif pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri, serta tidak mudah terpengaruh dengan cerita luar yang tidak tepat.
Beliau berkata, pelajar perlu mendapatkan maklumat yang sahih mengenai dasar dan program kerajaan, khususnya dalam usaha membawa pembangunan serta menyelesaikan isu rakyat di Sabah.
“Saya bersyukur kerana kita dapat membentuk semula kerajaan negeri dan kita akan meneruskan dasar pembangunan yang telah dirancang dan dilaksanakan.
“Kita mahu penuntut tahu apa sebenarnya yang dilakukan oleh kerajaan. Jangan kita terpengaruh dengan cerita di luar yang menyatakan bermacam-macam, sedangkan kerajaan bersungguh-sungguh melaksanakan program untuk rakyat kita di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Bantuan Graduan Rindu Sabah / Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS SubFly) Tahun 2026 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), pada Khamis.
Inisiatif GRS SubFly 2026 dijangka memberi manfaat secara langsung kepada 2,772 pelajar Sabah yang sedang menuntut di UPSI ketika ini.
Hajiji turut meluahkan rasa bangga kerana jumlah pelajar Sabah di universiti berkenaan begitu ramai, selain aktif dalam pelbagai bidang termasuk sukan dan kebudayaan.
“Saya dimaklumkan seramai 2,772 penuntut dari Sabah berada di sini, ini hebat sekali. Apa yang penting, pelajar dari Sabah perlu memberi tumpuan khusus dalam bidang pembelajaran kerana inilah kunci untuk berjaya pada masa akan datang.
“Saya yakin anak-anak Sabah bukan saja melonjakkan nama universiti, malah turut mengharumkan nama negeri dan negara,” katanya.
Ketua Menteri turut mengingatkan pelajar Sabah yang menamatkan pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) dalam negara mahupun luar negara supaya kembali berkhidmat di negeri ini.
“Jika ada peluang, baliklah untuk berkhidmat di Sabah dan sumbangkan kepakaran yang diperoleh kepada negeri kita,” katanya.
Dalam ucapannya, Hajiji turut menjelaskan usaha berterusan kerajaan negeri dalam menangani isu asas seperti bekalan air, jalan raya dan elektrik yang dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.
Beliau berkata, peningkatan kutipan hasil negeri juga membolehkan kerajaan menyalurkan semula manfaat kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif, termasuk bantuan pendidikan dan kebajikan.
Menurutnya, pendidikan merupakan kunci utama dalam memastikan kemajuan Sabah dan negara pada masa hadapan, selaras dengan aspirasi pembangunan negeri di bawah gagasan Sabah Maju Jaya.






