KOTA KINABALU: Penyiapan kilang Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd milik Singapura bernilai RM19.8 bilion di Sipitang kelak dianggar mewujudkan 12,795 pekerjaan untuk rakyat Sabah.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Phoong Jin Zhe berkata fasa pertama pembinaan sahaja yang berjumlah RM5.78 bilion akan menyaksikan 10,000 rakyat Sabah bekerja.
“Kemudian 2,795 lagi rakyat Sabah akan diambil sebagai kakitangan tetap yang merupakan jumlah yang besar bagi sebuah kilang.
“Kementerian sedang menyelaraskan usaha ini yang penting untuk mengurangkan kadar pengangguran negeri iaitu sebanyak 180,000 orang atau 7.9 peratus daripada jumlah penduduk.
“Ianya satu perjalanan yang panjang tetapi saya fikir kita berada di landasan yang sama iaitu ingin industri Sabah berkembang maju,” katanya kepada Datuk Dr. Jaujan Sambakong (Warisan – Sulabayan) di DUN pada Selasa.
Phoong (DAP – Luyang), berkata kerja ukur tanah di laut untuk pembangunan jeti sedang dijalankan untuk projek yang diumumkan sejak 2023 itu.
Sementara itu, Terma Rujukan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar telah disediakan untuk dikemukakan kepada Jabatan Alam Sekitar untuk kelulusan.
“Untuk Fasa 2 dan 3, Esteel sedang memuktamadkan perjanjian pajakan tanah dengan SOGDC.
“Ini jelas menunjukkan bahawa syarikat pelabur komited dalam menjadikan Sabah sebagai destinasi pelaburannya,” kata Phoong.
Datuk Dr Yusof Yacob (Gagasan Rakyat – Sindumin) menegaskan bahawa kerajaan negeri mesti memastikan untuk menggajikan rakyat Sabah sepanjang fasa pembinaan, operasi dan penyelenggaraan projek itu.
“Sebab ada projek sebelum ini menggaji mereka dari Sarawak, Semenanjung dan China. Kita mesti mengutamakan rakyat Sabah.
“Kita juga boleh memanggil sebilangan dari 350,000 rakyat Sabah yang sedang bekerja di Semenanjung untuk pulang bagi mengusahakan projek itu,” katanya.
Phoong bersetuju, sambil berkata itulah komitmen kerajaan negeri.
“Sebab itulah dasar minimum 80 peratus pekerja rakyat Sabah harus untuk pelabur langsung asing.