ADUN Pembangkang Sabah Juga Bertanggungjawab Basmi Kemiskinan – Nizam

ADUN Pembangkang Sabah Juga Bertanggungjawab Basmi Kemiskinan – Nizam

0
SHARE
Nizam
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang Sabah juga bertanggungjawab membasmi kemiskinan negeri itu kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Beliau berkata tugas itu tidak terletak pada Sekretariat Sabah Maju Jaya atau kerajaan semata-mata tetapi memerlukan kerjasama dan sokongan daripada kesemua 73 ADUN terhadap usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan hari ini.

“Ia adalah isu sejagat, terdapat orang miskin di mana-mana. Oleh itu, adalah tidak baik untuk memperkecilkan usaha kerajaan walaupun ia telah mengumumkan kemiskinan tegar telah dihapuskan.

“Sekiranya ini berlaku di kawasan anda, sila buat panggilan atau tulis surat kepada pegawai pejabat daerah atau terus kepada Sekretariat SMJ yang diamanahkan untuk menyelaras pembasmian kemiskinan tegar untuk tindakan selanjutnya.

“Kerajaan mengalu-alukan semua pendapat dan kerjasama dalam menyelesaikan isu ini,” katanya menjawab Arunarnsin Taib (WARISAN- Gum-Gum) di sidang DUN pada Selasa.

Arunarnsin terdahulu mendakwa yang terdapat mangsa kebakaran rumah di kawasannya tidak pernah menerima sebarang bantuan kerajaan.

Sementara itu, Nizam memberitahu Assaffal Alian (WARISAN – Tungku) bahawa tidak ada alasan untuk tidak mengetahui adanya pilihan untuk bekerjasama dengan kerajaan.

Beliau berkata pelan pembangunan Sabah Maju Jaya menekankan pembinaan modal insan dan kesejahteraan rakyat yang melibatkan semua rakyat Sabah.

“Tetapi masalahnya ialah, cuba beritahu semua pegawai daerah untuk menyertakan kami dalam mesyuarat kerana kami tidak pernah dijemput,” tegas Assaffal.

Nizam menjawab bahawa sudah tiba masanya untuk memupuk perpaduan dan bekerjasama untuk mengatasi isu tersebut.

Mengulas lanjut, Nizam berkata berdasarkan pangkalan data kemiskinan negara iaitu e-Kasih, sebanyak 68,089 keluarga miskin dikenal pasti di Sabah dengan 3,978 lagi dikategorikan sebagai miskin tegar membabitkan 265,335 orang secara keseluruhan sehingga September lepas.