
MANILA, FILIPINA – Setelah 26 tahun beraksi dalam gelanggang dan menjuarai 62 daripada 72 pertarungan professional, peninju Manny “PacMan” Pacquiao, akhirnya menggantung sarung tangannya.
Bekas juara dunia itu semalam mengumumkan persaraan beliau dari dunia tinju professional melalui satu video berdurasi 15 minit pada laman Facebook miliknya.
Dikatakan sebagai peninju ‘southpaw’ (kidal) terhebat pada generasinya, Emmanuel Dapidran Pacquiao, sekarang yang berusia 42 tahun memilih untuk “melawan” keluar daripada kemiskinan pada usia mudanya.
Pada umur 12 tahun Manny terpaksa berhenti dari sekolah rendah kerana keluarganya terlalu miskin.
Ini ekoran dari penceraian ibu bapa beliau selepas bapanya didapati curang. Tidak lama kemudian Manny menjadi anak murid tinju seorang pakciknya dan empat (4) tahun kemudian membuat debut professional.
“Bagi peminat dan sukan terhebat di dunia, terima kasih!” katanya.
“Terima kasih untuk semua kenangan indah. Ini adalah keputusan paling sukar yang pernah saya buat, tetapi saya merasa tenang dengannya. Kejar impian anda, bekerja keras, dan saksikan apa yang berlaku. Selamat tinggal tinju.”
Dalam video tersebut, Pacquiao mengucapkan terima kasih kepada senarai panjang orang yang telah menolong dan menyokongnya sepanjang kerjayanya yang dihormati ramai.
Dia juga berterima kasih kepada sukan tinju itu sendiri kerana telah membentuk hidupnya bertahun-tahun yang lalu.
“Anda memberi saya kesempatan untuk melawan jalan keluar dari kemiskinan. Kerana anda, saya dapat memberi inspirasi kepada orang-orang di seluruh dunia. Kerana anda, saya telah diberi keberanian untuk mengubah lebih banyak kehidupan,” kata Pacquiao.
“Saya tidak akan melupakan apa yang telah saya buat dan capai dalam hidup saya, saya tidak dapat bayangkan. Saya baru sahaja mendengar bunyi loceng terakhir,” katanya.
Dia menjadi petinju pertama yang mempertahankan status juara dalam lima kelas berat yang berbeza, dan merupakan satu-satunya petinju yang memegang kejuaraan dunia selama empat (4) dekad.
PacMan menyandang gelaran kelas welter pada tahun 2019 pada usia 40 tahun, menjadikannya peninju tertua yang pernah melakukannya.
Pacquiao yang juga seorang Senator sekarang mengintai jawatan Presiden Filipina. Beliau berkata untuk terus melawan di luar gelanggang dan lawannya adalah korupsi.
Isnin lalu beliau berkata rakyat Filipina sudah lama menunggu penukaran kerajaan.
“Saya seorang pahlawan dan akan sentiasa menjadi seorang pahlawan di dalam mahupun luar gelanggang…
“Kita perlukan sebuah kerajaan yang berkhidmat untuk rakyat dengan integriti, belas kasihan dan ketelusan,” kata Presiden parti PDP-Laban itu.
CNN Philippines turut melaporkan kehadiran Manny ke dewan Senat negara itu yang terteruk dengan rekod 10 kali ketidakhadiran.
Sumber berita tersebut berkata daripada lapan (8) kali itu kerana Manny berada dalam gelanggang tinju di Amerika Syarikat.