KOTA KINABALU, SABAH – Program sukarelawan menangani masalah mental akan diadakan di seluruh Sabah bermula 01 Oktober ini.
Program sukarelawan ini merupakan satu inisiatif yang ditubuhkan hasil kerjasama antara Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Pusat Pembangunan Usahawan Bumiputera Malaysia (PPUBM) dan beberapa NGO lainnya untuk membantu rakyat Sabah yang berhadapan dengan masalah kemurungan, rumah tangga dan yang berkaitan dengannya.
Menurut Elwin Ligaspi selaku Setiausaha Sekretariat, program ini sebenarnya diilhamkan sendiri oleh Datuk Zulkarnain Mahdar selaku Pengerusi G57.
“Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor turut menyokong penuh program ini.”

Elwin berkata lagi, sejak pandemik COVID-19 melanda Malaysia statistik kes bunuh diri melonjak naik sehingga 143 peratus berbanding tahun lalu jelas menunjukkan perkara ini tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak.
Jumlah 638 kes bunuh diri yang dilaporkan berlaku di negara ini di antara Januari hingga Julai berbanding 262 kes pada tahun sebelumnya jelas amat membimbangkan.
“Purata dua kes bunuh diri setiap hari turut dilaporkan bagi tempoh 2019 hingga Mei 2021 berdasarkan statistik yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga adalah petunjuk semua pihak perlu berganding bahu bagi mengurangkan kes yang amat membimbangkan ini…
“Kami turut mempunyai angka kes bunuh diri di Sabah yang harus ditangani dengan sebaiknya,” tambah Elwin.
Kes daftar cerai di Sabah bermula tahun 2020 sehingga Ogos 2021 berjumlah 4,010 juga jelas menunjukkan peningkatan.
Kes penderaan isteri termasuk anak-anak kecil juga menunjukkan trend peningkatan ketika ini.
Justeru usaha kecil kami dengan menawarkan sesi kaunseling oleh tenaga yang mempunyai kemahiran dalam bidang ini diharap sedikit sebanyak mampu membantu Kerajaan Negeri Sabah mengurangkan masalah ini.
“Sepanjang program ini berjalan, kami juga akan bekerjasama secara langsung dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Negeri Sabah termasuk pihak Polis…
“Justeru kami berharap agar kemasukan sukarelawan khususnya daripada Kuala Lumpur dapat dipermudahkan,” kata Elwin.