KOTA KINABALU, SABAH – Permohonan maaf “separuh masak” peguam Marcel Jude selepas menghina kaum Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) tidak boleh diterima tanpa sebarang tindakan undang-undang.
Presiden Persatuan Rungus Sabah (SAMORA), Datuk Jelani Hamdan berkata permohonan maaf tersebut mengesahkan yang Marcel telah melakukan kesilapan yang boleh diambil tindakan sama ada di Mahkamah Sivil, Mahkamah Anak Negeri dan yang berkaitan.
“Permohonan maaf itu disambut baik tapi jika ianya dialukan tanpa sebarang tindakan maka pada masa akan datang orang lain dengan sewenang-wenangnya boleh mengulangi perkara sama dan turut terlepas begitu sahaja…
“Cukupkah hanya dengan permohonan maaf? Tentu sekali tidak,” kata Jelani dalam sebuah kenyataan hari ini.
Ketua pemimpin masyarakat KDMR pada Rabu termasuk Timabalan Ketua Menteri Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Persatuan Murut Sabah, Majlis Hal Ehwal Anak Negeri, Lembaga Kebudayaan Sabah dan lain-lain telah bersidang merangka tindakan susulan.

Jelani tidak bersetuju mengenai kenyataan Marcel Jude yang kononnya penghujahan (Submission) dalam Mahkamah tidak boleh ditarik balik.
“Sebarang pernyataan atau penghujahan boleh ditarik balik atau dibuat pindaan. Beliau boleh membuat permohonan untuk meminda atau memadam (Expunge) mana-mana bahagian yang dirasakan tidak sesuai atau relevan…
“Adakah permohonan penarikan balik ayat-ayat Marcel: “Unduk Ngadau tidak lebih dari pertunjukkan lembu eksotik” dan “…tiada apa-apa yang luar biasa mengenai wanita-wanita ini“ akan membawa kesan kepada jaminan atau kes anak guamnya Philip Among?,” soal Jelani.
Jelani menjelaskan kalau tiada pun peguam yang mewakili Philip (yang kini berdepan lima kes cabul), dia masih boleh mendapatkan ikan jamin kerana bentuk kesalahan beliau jatuh dalam kategori ‘bailable’ (boleh diikat jamin).
“Sebagai peguam yang berpengalaman Marcel sedar bahawa tiada keperluan merapu menggunakan ayat-ayat yang boleh menyakitkan masyarakat KDMR…
“Itu sebabnya saya katakan yang beliau dengan sengaja berbuat demikian meskipun tiada kena mengena dengan pembaikkan kes anak guamnya,” katanya.
Penghujahan tersebut sudah diterima sebagai prosiding pihak mahkamah dan diakui oleh Marcel Jude apabila beliau menyatakan yang dokumen tersebut dilindungi keistimewaan mahkamah (Priviledged document) dan lagi mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa sahaja yang menyebarkannya.
Dari pendapat Jelani, Sogit (denda adat) tidak lagi memadai.
“Kalau beliau didapati bersalah di Mahkamah Anak Negeri denda melibatkan beberapa ekor kerbau atau lembu yang begitu mudah dibayarnya.
“Itu sebab saya ada nyatakan dalam post saya sebelum ini yang beliau patut didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 kerana Ini lebih menyengat…
“Namun persoalan ini agak rumit kerana dalam prinsip undang-undang seseorang individu tidak boleh didakwa ke atas pertuduhan yang serupa dalam mahkamah yang sama atau berlainan.
“Prinsip ‘Double Jeopardy‘ terpakai di sini. Walaubagaimanapun, dalam etnik KDMR terdapat beberapa kepelbagaian mengenai pendakwaan kes sebegini.
“Contohnya hukuman sogit bagi dtnik Rungus bagi kes penghinaan berbeza dengan etnik Dusun, Kadazan dan lain-lain,” jelas Jelani.