KUDAT, SABAH – Seramai 513 pelajar dari beberapa sekolah dalam daerah ini boleh menghembus nafas lega selepas menerima bantuan komputer riba dari Kerajaan Negeri.
Bantuan itu bertujuan untuk membantu pelajar-pelajar dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) sewaktu dunia sedang dilanda wabak COVID-19.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyempurnakan majlis penyerahan pagi tadi sempena pelancaran program Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) di Kudat Golf and Marina Resort.
Wakil bagi penerima layak di Sabah adalah Timbalan Pengarah Pendidikan Sabah Dr Kassim Hussein sementara Pegawai Pendidikan Daerah Kudat, Kusdi Ribut, mewakili pelajar Kudat.
Kerajaan Negeri Sabah menyampaikan sebanyak 10,000 komputer riba kepada pelajar di Sabah yang memerlukan dan sedang menuntut bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) and Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) mereka pada tahun ini.
Sejumlah RM 15 juta telah diperuntukkan bagi program tersebut.
Menteri Tugas Khas dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah telah bertanggungjawab mengenal pasti penerima dari sekolah SMK dan SMJK yang layak iaitu sejumlah 9,842 pelajar sementara 158 lagi datang dari Sekolah Menengah Agama Negeri.
Komputer riba berkenaan dibekalkan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi Sabah melalui Sabah Net merangkumi masa tiga bulan dari 19 Julai.
Menurut Hajiji, keputusan kerajaan untuk memberi komputer riba tersebut kepada calon SPM dan STPM adalah dengan harapan ianya akan terus diguna pakai sehingga mereka ke pengajian tinggi.
Program BAIK disokong perkhidmatan VSAT ConnectMeNow dan program Jendela.
Terdahulu, Ketua Menteri sempat menyinggah Kampung Landung Ayang bagi menyerahkan sebuah komputer riba secara peribadi kepada Muhd Azman Sumar, 19, yang akan menduduki peperiksaan STPM di SMK Kudat pada tahun ini.
Dalam pada itu, Hajiji juga menyerahkan replika cek bernilai RM 144,000 kepada 72 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam STPM pada tahun lalu.