Pemandu Cuai Punca Kereta Api Langgar Motor Troli di Pangi

Pemandu Cuai Punca Kereta Api Langgar Motor Troli di Pangi

0
SHARE

KOTA KINABALU: Insiden perlanggaran antara sebuah railbus (kereta api) dengan motor troli di Kilometer (KM) 134/4, Pangi, Tenom pada 3 Mac lalu disahkan berpunca daripada kecuaian pemandu yang gagal menjalankan pemeriksaan jentera sebelum memulakan perjalanan.

Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan dalam satu kenyataan memaklumkan, hasil siasatan dalaman oleh Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) melalui Board of Enquiry (BOE) pada 9 Mac lalu mendapati pemandu Railbus RB8801 tidak menutup isolating valve pada Tenom End Driving Cab serta tidak menjalankan ujian dinamik bagi memastikan sistem brek berfungsi dengan baik.

Menurut JKNS, kecuaian tersebut menyebabkan sistem brek railbus tidak berfungsi sepenuhnya sehingga mengakibatkan perlanggaran dengan motor troli di lokasi kejadian.

“Insiden ini berpunca daripada kecuaian pemandu Railbus RB8801 yang gagal menjalankan pemeriksaan ke atas jentera sebelum memulakan perjalanan serta tidak melaksanakan ujian dinamik bagi memastikan sistem brek berfungsi dengan baik,” menurut kenyataan itu di sini, semalam.

Bagaimanapun, selepas railbus berhenti di KM133/8, pemandu telah memeriksa dan membetulkan kedudukan isolating valve. Ujian pandu yang dijalankan selepas itu mendapati sistem brek kembali berfungsi dengan baik, sekali gus membolehkan railbus kembali ke Stesen Tenom tanpa perlu diselamatkan atau ditarik oleh jentera lain.

Pemeriksaan lanjut oleh Penolong Jurutera sejurus railbus tiba di stesen turut mengesahkan sistem brek beroperasi sepenuhnya.

Menurut JKNS, siasatan BOE dijalankan secara menyeluruh merangkumi laporan kejadian, keterangan kakitangan Bahagian Kejuruteraan Jentera, rakaman Digital Mobile Video Recorder (DMVR) pada jentera serta pemeriksaan teknikal dan simulasi di lokasi kejadian.

Sehubungan itu, tindakan tatatertib akan disyorkan terhadap pemandu berkenaan mengikut Peraturan-Peraturan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (PPPANS) 2008 di bawah Tatakelakuan Perkara 208(2)(j) kerana cuai dalam menjalankan tugas.

Dalam pada itu, JKNS memaklumkan perkhidmatan keretapi kembali beroperasi seperti biasa pada 4 Mac lalu menggunakan jentera yang sama dan sehingga kini railbus berkenaan beroperasi tanpa sebarang masalah.

“Keselamatan penumpang dan perkhidmatan keretapi sentiasa menjadi keutamaan Jabatan Keretapi Negeri Sabah dan perkhidmatan keretapi yang beroperasi adalah selamat untuk digunakan oleh orang awam,” menurut kenyataan itu.

JKNS turut menegaskan bahawa kawasan rezab keretapi merupakan kawasan larangan berdasarkan Enakmen Keretapi Negeri Sabah 2017, dan sebarang aktiviti di kawasan landasan perlu mendapat kelulusan Menteri melalui syor Pengarah JKNS.

Penggunaan motor troli yang diubah suai daripada motosikal di atas landasan tanpa kebenaran adalah satu kesalahan serta boleh menyebabkan kerosakan rel dan menjejaskan keselamatan operasi keretapi.

Insiden perlanggaran tersebut telah dimaklumkan kepada Jemaah Menteri pada 11 Mac lalu.