KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Aman bersama Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Tussin serta Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan isteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag menghadiri Majlis Berbuka Puasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini pada Rabu.
Ketua Menteri bersama isteri tiba pada jam 5.27 petang, diikuti ketibaan Yang di-Pertua Negeri Sabah bersama Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Tussin.
Antara pengisian majlis termasuk bacaan ayat suci al-Quran dan Surah Al-Kahfi, diikuti penyampaian sumbangan daripada Pusat Zakat Sabah kepada golongan mualaf, balu serta anak yatim dalam kalangan warga PDRM Kontinjen Sabah.
Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian cendera kenangan serta tazkirah Ramadan sebelum para tetamu berbuka puasa bersama. Para hadirin kemudiannya menunaikan solat Maghrib, diikuti solat Isyak dan solat sunat Tarawih di Surau Fisabilillah, IPD Kota Kinabalu.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya; Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif;
Seterusnya turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Rubin Balang; Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun serta Timbalannya, Datuk Abdul Rani Alias bersama isteri masing-masing.






