KOTA KINABALU, SABAH – Prospek pemulihan ekonomi negeri di peringkat nasional dan global lebih cerah di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin, berkata demikian dalam Ucapan Dasar Kerajaan bersempena dengan Istiadat Pembukaan Penggal Ke-3 Dewan Undangan Negeri Sabah Yang Ke-16 pagi tadi.
Katanya, Tahun 2022 merupakan tahun kedua Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) dan merupakan tempoh yang penting ke arah pemulihan ekonomi negeri Sabah.
“Walaupun masih berhadapan dengan pelbagai cabaran kesan daripada pandemik COVID-19, sukacita saya ingin memaklumkan bahawa negeri Sabah berada pada landasan yang tepat ke arah pemulihan dan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik.
“Ini dapat digambarkan melalui asas-asas sosioekonomi yang kekal stabil dan semakin mengukuh…
“Pembukaan semula sektor-sektor ekonomi dan aktiviti-aktiviti sosial serta pelaksanaan pelbagai inisiatif dan projek pembangunan berimpak tinggi di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (Hala Tuju SMJ 1.0, 2021-2025) dan RMK12 pastinya merancakkan semula aktiviti dalam sektor-sektor ekonomi yang sebelum ini terjejas akibat pandemik COVID-19.
“Saya yakin negeri Sabah akan mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih baik pada tahun ini sejajar dengan prospek pemulihan ekonomi di peringkat nasional dan global, insya-Allah,” katanya.
Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor…
atas kecemerlangan beliau menerajui pentadbiran negeri Sabah dan memastikan keadaan ekonomi, politik dan sosial negeri Sabah kekal stabil, aman dan makmur terutamanya ketika negeri ini berhadapan dengan situasi getir semasa pandemik COVID-19.
“Sukacita saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas bantuan dan sokongan berterusan yang diberikan kepada negeri Sabah untuk merancakkan pembangunan di negeri ini.
“Kesungguhan Kerajaan Persekutuan untuk memajukan negeri Sabah tercermin melalui pemberian peruntukan pembangunan yang besar di bawah RMK12 dan Belanjawan Negara Tahun 2022.
“Kerajaan Negeri akan memastikan peruntukan ini dibelanjakan secara efisien untuk pelaksanaan pelbagai projek pembangunan berimpak tinggi meliputi pelbagai sektor di negeri ini,” tambahnya.
Selain itu, beliau berkata pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan pelbagai pakej rangsangan ekonomi oleh Kerajaan Persekutuan membantu merancakkan semula aktiviti bagi sektor-sektor ekonomi utama yang secara langsung mempercepatkan usaha pemulihan ekonomi negeri Sabah.