UMNO Utamakan Formula Membela Nasib Rakyat

UMNO Utamakan Formula Membela Nasib Rakyat

0
SHARE
Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin...

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata UMNO mengutamakan formula membela nasib rakyat dan bukan berjuang untuk ahli parti semata-mata.

Memetik laporan Utusan Borneo, keutamaan parti itu dalam memegang teguh formula tersebut sejak 75 tahun lalu menjadikan faktor parti tersebut masih kekal relevan.

Namun, UMNO Sabah pernah menghadapi pelbagai cabaran sebaik sahaja melebarkan sayapnya ke negeri ini dan antara saat yang paling sedih adalah kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

“Kita lihat ujian yang berlaku secara positif, di sebalik langkah mereka yang meninggalkan perjuangan bersama UMNO, alhamdulillah, kita masih memiliki pemimpin dan ahli yang berprinsip serta setia kepada perjuangan parti.

Ini menjadikan UMNO Sabah lebih matang, kukuh dan berpengalaman menghadapi cabaran…

yang sehingga kini tidak ada satu bahagian UMNO pun dibubarkan di Sabah,” katanya ketika bercakap di Majlis Sambutan 31 Tahun UMNO bertapak di Sabah, semalam. 

Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah bagaimanapun mengakui bahawa perubahan zaman membawa bentuk cabaran baharu kepada parti hingga menguji kaedah-kaedah yang digunakan parti untuk mendepaninya.

Antaranya kepantasan penyebaran fitnah melalui media sosial dan internet yang secara tidak langsung membawa impak persepsi yang dilihat lebih penting berbanding realiti sebenar.

“Namun kesedaran dan kefahaman rakyat kini lebih jelas segala propaganda dan fintah yang dilimparkan terutamanya di media sosial sebenarnya hanya propaganda pembangkang.

“Keyakinan rakyat kepada UMNO dan BN kembali kukuh setelah kita melihat pencapaian parti dalam beberapa siri pilihan raya kecil (PRK)…

“Terkini dalam PRN Melaka dan selepas ini kita optimis PRN Johor UMNO dan BN akan mencipta satu kejayaan baharu,” jelasnya.

Jelasnya lagi, UMNO harus mampu menyesuaikan diri agar kekal menjadi parti yang relevan pada masa kini dan akan datang walau apa jua perubahan persekitaran.