PUTRAJAYA, SELANGOR – Sejumlah 561,000 atau 99 peratus pengguna domestik di Sabah dan Labuan tidak terjejas dengan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2024, menurut Suruhanjaya Tenaga (ST).
Memetik sumber Bernama, ST dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kerajaan pada 13 Disember lalu bersetuju pelarasan tarif elektrik bawah mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) dilaksanakan secara penyasaran semula subsidi bagi pengguna di Sabah dan Labuan dalam tempoh berkenaan.
“Berdasarkan penyasaran semula subsidi ini, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM161.70 juta subsidi bagi meminimumkan impak surcaj ICPT sepanjang tempoh pelaksanaan ini,” menurut kenyataan itu.
ICPT merujuk kepada satu mekanisme bawah Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) yang membolehkan kos bahan api diselaraskan setiap enam bulan berdasarkan turun naik harga global bahan api.
Dengan pelaksanaan ICPT itu, pengguna domestik (tarif DM) dengan penggunaan elektrik sebanyak 1,500 kilowatt-jam (kWj) dan ke bawah, tidak akan dikenakan sebarang surcaj.
Pengguna domestik (tarif DM) dengan penggunaan elektrik melebihi 1,500 kWj pula akan dikenakan surcaj pada kadar 7.21 sen/kWj, manakala pengguna bukan domestik dikenakan surcaj pada kadar 7.21 sen/kWj.
Sementara itu, pengecualian surcaj ICPT dikekalkan kepada pengguna bukan domestik kategori tarif voltan rendah (tarif CM1 dan ID1) yang terdiri daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).