KKM Kenal Pasti 12 Projek Sakit Libatkan Fasiliti Kesihatan Seluruh Malaysia

KKM Kenal Pasti 12 Projek Sakit Libatkan Fasiliti Kesihatan Seluruh Malaysia

0
SHARE

PAPAR, SABAH – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan sebanyak 12 projek sakit melibatkan fasiliti kesihatan yang dikenal pasti diseluruh negara.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata di negeri Sabah, terdapat tiga fasiliti kesihatan yang dikategorikan sebagai projek sakit iaitu Hospital Papar, Hospital Beaufort dan Klinik Kesihatan Sikuati, Kudat.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata kelewatan proses pelaksanaan pembinaan Hospital Papar adalah sebanyak 11.72 peratus (89 hari); Hospital Beaufort sebanyak 45.97 peratus (553 hari) manakala Klinik Kesihatan Sikuati sebanyak 37.12 peratus (271 hari).

Mengulas mengenai tinjauan ke tapak projek naik taraf Hospital Papar hari ini, Dr Zaliha berkata projek yang sepatutnya bermula pada 23 Mei 2017 itu telah mengalami kelewatan.

Katanya, kelewatan terbabit dijangka dapat dipulihkan dan disiapkan pada penghujung tahun ini serta mula beroperasi pada bulan Mac tahun hadapan.

“Kita telah mendapat taklimat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) apakah masalah dan kekangan yang dihadapi dan kita kategorikannya sebagai projek sakit…

“Kita telah lihat perkembangannya (proses pembinaan naik taraf Hospital Papar) pada masa kini adalah sebanyak 62 peratus dan ia agak keterbelakang sedikit daripada jangkaan kita iaitu sebanyak 70 peratus.

“Oleh itu, kita akan terus menjalankan pemantauan dan perbincangan akan dilakukan diantara KKM, JKR, kontraktor dan beberapa pihak berkepentingan lain untuk kita lihat bagaimana boleh terus memacu projek ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi lawatan ke tapak projek naik taraf Hospital Papar, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) KKM, Datuk Dr Norhayati Rusli dan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin.

Dr Zaliha dalam pada itu juga memberitahu antara faktor kelewatan projek naik taraf Hospital Papar yang dikenal pasti dimana antaranya pandemik COVID-19 menyebankan projek tertangguh selama tiga tahun.

“Kemudian, antara faktor lain yang dikenal pasti berkemungkinan dari sudut penyediaan pekerja oleh kontraktor dan bahan yang menyebabkan pelaksanaan projek ini lewat,” katanya.

Dr Zaliha turut menjelaskan projek ini telah diluluskan dengan kos sebanyak RM98.5 juta melibatkan pembinaan wad dengan pertambahan 84 katil yang merangkumi wad pediatrik, wad wanita dan lelaki.

Selain itu, perkhidmatan yang bakal disediakan kepada pesakit termasuk kecemasan dan trauma, pengimejan (x-ray), farmasi satelit, dewan pembedahan dan jabatan serta perkhidmatan lain berkaitan.

Katanya, keseluruhan kapasiti katil bagi Hospital Papar akan meningkat kepada 161 katil apabila projek ini siap.