Gejala Hooliganisme Punca Kes Disiplin Di Sekolah Makin Meningkat

Gejala Hooliganisme Punca Kes Disiplin Di Sekolah Makin Meningkat

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Kebanyakan kes disiplin membabitkan 402 ‘sekolah panas’ di negara ini dikenal pasti sebagai sebagai gejala hooliganisme atau penubuhan kumpulan tidak formal yang terbabit dengan pergaduhan.

Memetik kenyataan Harian Metro, perkara itu diakui Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Tajudin Md Isa yang dihubungi wartawan Harian Metro semalam.

Menurutnya, gejala hooliganisme turut menyebabkan pelajar cenderung terbabit dengan kegiatan buli, vandalisme dan pergaduhan berkumpulan.

“Ketika ini seramai 10,180 pegawai polis dilantik sebagai pegawai perhubungan sekolah (PPS) di seluruh negara bagi memantau dan melakukan aktiviti di sekolah sekaligus menangani gejala disiplin di sekolah.

“Pihak polis juga akan mempertingkatkan peranan PPS dan kehadiran mereka ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata, secara umumnya gejala disiplin di sekolah dilihat masih terkawal.

“Setakat ini polis memfokuskan gejala dislipin yang membabitkan buli, vandalisme dan hooliganisme.

“Namun kita tidak menolak wujud unsur gengsterisme di sekolah namun jumlahnya amat sedikit,” katanya.

Tajudin berkata, pihaknya juga akan mengadakan lebih banyak perjumpaan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan mengadakan kerjasama erat dengan guru-guru sekolah bagi menangani masalah disiplin pelajar di sekolah.

“Apa yang saya ingin tekankan bukanlah jumlah senarai ‘sekolah panas’ yang dikeluarkan tetapi bagaimana cara untuk menangani gejala disiplin di sekolah.

“Disebabkan itu kerjasama dengan pihak Jabatan Pendidikan dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu dipertingkatkan,” katanya.

Difahamkan, berdasarkan statistik kira-kira 7,000 kes juvana direkodkan tahun lalu berbanding kira-kira 10,000 kes pada 2015.

Terdahulu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menubuhkan jawatankuasa di peringkat negeri bagi memantau sekolah dikategorikan sebagai ‘sekolah panas’ susulan masalah disiplin pelajar.

Jawatankuasa di peringkat negeri itu ditubuhkan susulan tindakan diambil di peringkat kementerian yang bekerjasama dengan agensi lain dalam usaha menangani masalah disiplin pelajar.

Difahamkan pihak kementerian sudah mengemukakan senarai 402 sekolah ‘hotspot’ di seluruh negara kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut dan semua pegawai perhubungan sekolah diarahkan mengambil tindakan proaktif untuk menangani masalah itu.