Pelitup Muka (Facemask) Fabrik Masih Berkesan Halang Mutasi Baharu COVID-19 – WHO

Pelitup Muka (Facemask) Fabrik Masih Berkesan Halang Mutasi Baharu COVID-19 – WHO

0
SHARE

GENEVA, SWITZERLAND – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak merancang untuk mengubah garis panduannya yang menyarankan penggunaan pelitup muka fabrik, walaupun varian baharu coronavirus tersebar.

Ia berikutan mutasi strain berkenaan tersebar melalui cara yang sama dengan strain asal virus berkenaan.

Ketua teknikal COVID-19 di WHO, Maria Van Kerkhove yang dipetik AFP berkata beberapa varian baharu itu mungkin meningkatkan kebolehjangkitan, namun itu hasil kajian di Britain dan Afrika Selatan yang mengesan mutasi di negara itu.

“Masih belum ada sebarang petanda mengatakan cara virus ini berjangkit sudah berubah. Ia masih tersebar melalui cara yang sama,” katanya dalam sidang media di Geneva, pada Jumaat baru-baru ini.

Jerman dan Austria mewajibkan penggunaan pelitup muka perubatan di dalam pengangkutan awam dan premis kedai, dan hanya membenarkan pelitup muka pembedahan atau FFP2 berbanding fabrik, susulan kebimbangan ancaman mutasi baharu virus COVID-19.

WHO menyarankan pelitup muka fabrik bukan perubatan boleh digunakan oleh orang ramai di bawah usia 60 tahun dan tidak memiliki masalah kesihatan lain.

Selain itu, badan itu turut menyarankan pelitup muka perubatan digunakan petugas kesihatan, individu tidak sihat, yang menunggu keputusan COVID-19 atau disahkan positif, dan mereka yang menjaga individu disyaki atau pesakit COVID-19.

Ia turut disarankan kepada individu berusia 60 tahun ke atas, atau individu yang memiliki masalah kesihatan lain, berikutan golongan itu berisiko tinggi berdepan penyakit serius.

Van Kerkhove berkata, WHO tidak meramcamg untuk mengubah pendirian ketika ini, namun setiap negara bebas untuk membuat keputusan yang dirasakan perlu.

“Kami akan terus meneliti bukti yang sudah ditemui, namun berdasarkan data dari negara yang memiliki varian virus ini, cara ia berjangkit tidak berubah…

“Jika ada perubahan, kami akan mengubah dan menperbaharui saranan WHO,” katanya, memaklumkan pelitup muka fabrik perlu memiliki tiga lapisan untuk memastikan perlindungan mencukupi.

Menurut garis panduan WHO untuk pelitup muka fabrik, lapisan paling dalam perlu menyerap air seperti kapas; lapisan tengah perlu dihasilkan daripada bahan polipropilena tanpa jahitan yang bertindak sebagai penapis; dan lapisan luar perlu kalis air seperti poliester.