Pemuda PN Bergabung Tenaga Bantu Mangsa Bencana Di Pantai Barat Sabah

Pemuda PN Bergabung Tenaga Bantu Mangsa Bencana Di Pantai Barat Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Sayap Pemuda LIMA (5) buah parti komponen Perikatan Nasional (PN), (SAPP, STAR, Armada, PAS dan Gerakan) bergabung tenaga memberikan bantuan kepada mangsa bencana alam di kawasan terkesan di Pantai Barat Sabah.

Jamain Sarudin, Ketua Pemuda Parti Progresif Sabah (SAPP) berkata, tumpuan mereka di beberapa daerah dan setiap Sayap Pemuda seperti ARMADA akan mengetuai bantuan di kawasan Penampang, PAS di Putatan dan Beaufort, STAR di Inanam, Gerakan di Kolombong, sementara SAPP membantu di kawasan tanah runtuh Kopungit.

“Kita telah bahagikan kawasan fokus bagi setiap parti untuk menyelaras bantuan yang diperlukan oleh penduduk di kawasan berkenaan,” kata Jamain, yang juga Timbalan Ketua Pemuda III PN Malaysia.

Menurut beliau lagi, Pemuda PN sudah memberikan bantuan awal seperti peralatan dapur memasak bagi penduduk yang berpindah ke kawasan selamat di Kopungit, berikutan risiko bagi rumah kediaman mereka yang terletak di lereng bukit.

“Lapan (8) keluarga berkenaan kini tinggal sementara di kawasan gerai, dan kelmarin kita selesai memberi peralatan memasak seperti dapur, untuk membolehkan mereka memasak sendiri,” tambah beliau lagi.

Menurutnya, setelah mendengar rintihan keluarga yang berkenaan, beliau telah mengarahkan agar Pemuda segera membeli peralatan tersebut dan diserahkan pada Ahad baru-baru ini bagi mengelakkan sebarang masalah jangkitan COVID-19 sekiranya mereka keluar untuk mendapatkan bekalan makanan.

Sebanyak 37 keluarga terkesan dengan kejadian tanah runtuh yang berlaku lewat petang Jumaat lalu. Tiga buah kenderaan dan satu motosikal juga turut tertimbus.

“Kita mengedarkan bakul bantuan makanan dan kawasan yang lain juga akan menghulurkan sumbangan dan bantuan seperti yang dirancang,” ujar beliau lagi.

Bencana Alam di Sabah berlaku disebabkan hujan yang lebat tanpa henti sejak beberapa hari minggu lalu yang mengakibatkan banjir kilat dan tanah runtuh.

Beberapa kawasan dilimpahi air banjir dan terdapat runtuhan tanah yang merosakkan kediaman dan bangunan Kerajaan termasuk kemudahan di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.

Tanah runtuh yang memusnahkan makmal dan stor wad Tuberkulosis (TIBI) Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu…

Sementara itu, Jamain meminta agar penduduk sentiasa berwaspada semasa cuaca buruk, memerhatikan keadaan persekitaran dan segera berpindah segera bagi mengelakkan risiko serta sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan keluarga.

Beliau juga berharap, badan korporat, syarikat berkaitan kerjaan dan agensi Kerajaan dapat memberikan bantuan kepada penduduk yang mengalami kemusnahan kediaman disamping bantuan kemanusian yang lain.

Turut hadir, Charles Gokin, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kopungit, yang juga Ketua Penerangan Pemuda SAPP, Edmund Ong Hwa Tung, Ketua Pemuda Gerakan Sabah, Dexter Chin, Naib Ketua Pemuda SAPP, Clarence Oh, Bendahari dan Clement Foo, Exco Pemuda SAPP.