LIBARAN, SABAH – Bekas Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal kini digesa untuk menunjukkan tanggungjawab moralnya terhadap rakyat Sabah, khususnya selepas pentadbirannya terdahulu meluluskan pembiayaan besar kepada AirAsia namun manfaatnya kepada rakyat masih dipersoalkan.
Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berkata ramai anak Sabah di Semenanjung kini terpaksa menanggung kos penerbangan yang tinggi untuk pulang mengundi sempena Pilihan Raya Negeri Sabah pada 29 November ini.
Menurutnya, walaupun AirAsia mengumumkan promosi khas Jom Balik Undi dengan tambang serendah RM299 sehala, hakikatnya harga itu masih terlalu tinggi untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Pada kadar RM299 satu hala, kos pergi balik mencecah kira-kira RM598 seorang tidak termasuk caj bagasi, cukai lapangan terbang dan perbelanjaan lain.
Suhaimi menegaskan, keadaan ekonomi yang mencabar ketika ini menjadikan kos tersebut membebankan, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada rakyat mampu mengeluarkan hampir RM600 hanya untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Lebih mengecewakan katanya, AirAsia sebelum ini menerima pembiayaan RM300 juta daripada Sabah Development Bank (SDB) ketika pandemik COVID-19, iaitu kemudahan yang diluluskan di bawah pentadbiran Shafie.
Menurutnya, setakat ini, hanya kira-kira RM170 juta dilaporkan telah dibayar balik kepada SDB, bermakna masih terdapat baki besar yang belum diselesaikan dengan institusi kewangan milik kerajaan negeri itu.
“Atas asas moral dan sosial, adalah wajar AirAsia menunjukkan rasa tanggungjawab kepada Sabah yang pernah membantu kelangsungan perniagaannya, dengan menawarkan tambang khas pergi balik di bawah RM300 sepanjang tempoh PRN,” katanya.
Suhaimi berkata langkah itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pengundi, malah mencerminkan bahawa bantuan kewangan kerajaan negeri terdahulu kepada syarikat korporat turut kembali kepada rakyat, bukan semata-mata keuntungan syarikat.
“Justeru, Datuk Seri Shafie Apdal harus tampil dan mendesak AirAsia menawarkan tambang subsidi khas kepada pengundi Sabah yang mahu pulang mengundi.






