TAWAU, SABAH – Seorang lelaki cedera ringan selepas sebuah rumah atas air runtuh sepenuhnya di Kampung Hidayat awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 3.11 pagi.
Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tawau dengan enam anggota dikerahkan ke lokasi, tiba tujuh minit kemudian.
Menurut Komander Operasi, PBK I Sulaiman Md Salleh, mangsa lelaki dewasa mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan diberikan rawatan awal di lokasi oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut. Identiti mangsa belum diperoleh.
Pasukan bomba turut menasihatkan penghuni rumah berhampiran supaya mengosongkan kediaman buat sementara waktu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini memandangkan keadaan struktur yang berisiko.






